Bilangan perokok di seluruh dunia semakin merosot dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pertubuhan berkenaan juga menggesa semua negara meningkatkan lagi langkah kawalan untuk menghentikan ketagihan tembakau yang boleh membawa maut. Tahun lalu, sekitar 1.3 bilion orang menggunakan tembakau di seluruh dunia, berkurangan berbanding 1.32 bilion dua tahun sebelumnya, kata WHO dalam laporan terbarunya. Jumlah itu, katanya, dijangka akan terus berkurang kepada 1.27 bilion menjelang 2025, menunjukkan penurunan sekitar 50 juta pengguna tembakau dalam tempoh tujuh tahun, walaupun penduduk dunia meningkat.
Laporan itu menunjukkan walaupun hampir satu pertiga daripada penduduk global berusia 15 tahun dan ke atas menggunakan produk tembakau pada 2000, hanya satu perlima dijangka melakukannya menjelang 2025. Penggunaan tembakau dianggarkan membunuh lebih lapan juta orang setiap tahun, kebanyakannya secara langsung disebabkan mereka menggunakan tembakau itu sendiri, manakala 1.2 juta lagi bukan perokok yang terdedah kepada asap rokok, menurut statistik WHO. Laporan terbaru itu juga memberi amaran jumlah kematian tahunan akan terus meningkat untuk beberapa tempoh walaupun penggunaan tembakau berkurangan 'berikutan tembakau membunuh penggunanya dan orang yang terdedah kepada asapnya secara perlahan'. Laporan sama turut memuji 60 negara yang komited mengurangkan penggunaan tembakau hingga 30 peratus antara 2010 hingga 2025, berbanding dua tahun lalu ketika WHO mengeluarkan laporan hanya 32 negara menyatakan komitmen itu. Walaupun jumlah itu semakin berkurangan, menurut laporan itu, ia tidak merangkumi pengguna rokok elektronik, yang mana kira-kira 36.7 peratus daripada lelaki dan 7.8 peratus wanita dunia masih menggunakan produk tembakau tahun lalu. Lebih membimbangkan, ia menyatakan seramai 38 juta remaja berusia antara 13 dan 15 tahun juga menggunakan tembakau. Ia menyumbang kira-kira 10 peratus daripada penduduk remaja dalam kumpulan umur itu, dengan kanak-kanak lelaki jauh lebih berkemungkinan merokok daripada kanak-kanak perempuan. Eropah ialah rantau dunia di mana kebanyakan wanita menggunakan produk tembakau dengan kira-kira 18 peratus, dedah laporan itu. Wilayah Pasifik Barat adalah tempat kebanyakan lelaki merokok, dengan lebih 45 peratus lelaki dijangka masih menggunakan tembakau sehingga 2025. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT