KUALA LUMPUR: Anak syarikat Malton Bhd, Pembinaan Gapadu Sdn Bhd hari ini memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Sering Manis Sdn Bhd (SMSB), anak syarikat 51 peratus milik Global Oriental Bhd untuk membeli empat lot tanah pegangan kekal Genting pada harga RM65 juta. Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Malton berkata cadangan pembangunan untuk tanah Genting itu dijangka merangkumi pangsapuri berperkhidmatan dan vila mewah. Syarikat itu berkata, tanah seluas 12.2 hektar itu terletak di timur Jalan Meranti, yang menghubungkan jalan utama menuju ke Resorts World Genting, selatan Genting View Resort di Genting Highlands, Pahang. "Berdasarkan kelulusan perancangan yang diperoleh daripada SMSB dan penilaian dalaman kami, tanah Genting dijangka menjana nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1.29 bilion daripada cadangan pembangunan itu. "Memandangkan cadangan pembangunan masih dalam peringkat awal, jumlah kos pembangunan, jangkaan keuntungan dan tarikh permulaan masih belum ditentukan," katanya.
Dalam satu kenyataan berasingan, Global Oriental berkata, kumpulan itu dijangka memperoleh keuntungan bersih RM7.5 juta daripada penjualan tanah berkenaan. "Hasil penjualan itu akan mengurangkan pinjaman dan menjamin modal kerja untuk projek dan peluang masa depan," katanya. Penjualan itu dijangka diselesaikan dalam tempoh empat bulan dari tarikh tanpa syarat atau 10 bulan dari tarikh cadangan penjualan. -BERNAMA |
ADVERTISEMENT