KEMENANGAN tempat ketiga yang diraih Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dalam Kejohanan Triathlon Antarabangsa Desaru 113 di Desaru, Johor pada 7 Julai lalu menjadi pertikaian ramai apabila muncul dakwaan terdapat penipuan ketika itu. Dakwaan itu dimuat naik seorang daripada peserta kejohanan tersebut yang mengatakan bahawa Syed Saddiq tidak menggunakan laluan sepatutnya sehingga mengambil hak kemenangan daripada peserta yang layak. Menerusi komen dikongsikan @joshua.izham, Syed Saddiq pada awalnya berada di barisan belakang ketika acara renang dan berbasikal, namun secara pantas memotongnya pada saat larian dilakukan. Dia turut mempersoalkan bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang tidak melengkapkan jumlah perjalanan sepatutnya. "Macam mana ia boleh berlaku? Sudah jelas kamu habiskan berbasikal dengan dua loops 60 kilometer (km) dan tak lengkapkan seluruh tiga loops iaitu 90 km," soalnya. Bukan itu sahaja, dia juga mempertikaikan tempoh masa yang diambil Syed Saddiq untuk menghabiskan acara terbabit iaitu selama 2 jam 37 minit sahaja. Susulan itu, Syed Saddiq mengambil langkah memberi penjelasan terhadap dakwaan tersebut. Menurutnya, penyertaannya di dalam kejohanan terbabit bukanlah semata-mata meraih perhatian atau merebut kemenangan. Sebaliknya, beliau melakukan perkara itu atas tujuan kesihatan dan bagi mengamalkan gaya hidup sihat. Mengulas lanjut, Syed Saddiq turut menafikan bahawa berlakunya sebarang penipuan sepanjang menghabiskan acara berkenaan. "Berhubung tempoh masa saya habiskan acara berbasikal yang awal dari jangkaan, saya sudah pun semak dengan pasukan teknikal ketika itu. "Saya juga semak lebih dua kali untuk pastikan tiada kesalahan teknikal," katanya. Bukan itu sahaja, Syed Saddiq menjelaskan dakwaan telah mengambil kedudukan peserta lain yang layak adalah tidak sepatutnya timbul. Ia kerana beberapa kali semakan sudah dilakukan dengan teliti sebelum menerima sepenuhnya kemenangan tersebut. Syed Saddiq bagaimanapun membuat permohonan maaf kepada seluruh peserta dan individu terlibat dalam kejohanan terbabit sekiranya kemenangan itu mengguris hati segelintir pihak. Sumber— Majoriti |
ADVERTISEMENT