Kuala Lumpur: Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet yang lantang bersuara mengenai isu cetak rompak digital menyambut baik usaha kempen kesedaran penggunaan kotak android TV secara haram yang semakin berleluasa dijual di platform e-dagang dan media sosial. Menurut Altimet, setiap individu yang sudah membeli kotak android TV secara haram juga perlu sedar mengenai dosa yang perlu ditanggung apabila mencuri hasil titik peluh orang lain termasuk meningkatkan kesedaran mengenai menyokong produk tempatan. "Kita perlu buat orang rasa bangga kalau tonton atau strim muzik secara sah. Ini suatu perbuatan yang boleh dibanggakan. "Di negara jiran kita, mereka bangga dengan karya lokal. Malah, ada antara golongan T20 di sana bayar lebih untuk artis tempatan sebagai penghargaan. "Kalau orang kita tidak 'layan' benda-benda haram seperti ini, sebenarnya, tidak perlu undang-undang pun. Apa yang penting, ubah cara kita berfikir.
"Satu cara lagi untuk membangkitkan kesedaran adalah majoriti kita orang Islam. Ada disebut dalam khutbah, cetak rompak ini sama seperti mencuri di mana perbuatan itu berdosa. Kita boleh berbincang dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk menjelaskan perkara ini," katanya. Menurut Altimet, isu cetak rompak perlu ditangani dengan segera supaya pihak yang menjual secara haram berdepan tindakan undang-undang di atas perbuatan mencuri dan mengambil hak orang lain. "Sejak saya membangkitkan isu cetak rompak ini, Alhamdulillah perkara ini mendapat perhatian daripada pihak kerajaan. Cuma apabila bercakap fasal isu ini ia ibarat satu perlumbaan di antara orang cetak rompak dan penggubalan undang-undang. "Mereka begitu pantas menukar modus jualan mereka dan sentiasa ada cara baharu untuk menjualnya secara haram. Jadi kalau boleh kita perlu cuba tangani isu cetak rompak ini dengan segera. "Soal berjaya atau tidak, itu bukan tugas kita sebaliknya di tangan Allah. Tapi tidak bermakna kita tidak berusaha untuk membanteras cetak rompak digital yang semakin berleluasa ini," katanya. Terdahulu Altimet hadir pada mesyuarat membincangkan isu cetak rompak digital yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) diwakili Ketua Aktivis, Datuk Nadzim Johan di Kompleks Finas, Hulu Klang, baru-baru ini. Sumber : Harian Metro |
kotak android TV secara haram
ADVERTISEMENT