Penyanyi Aufahanie memohon orang ramai mendoakan agar abangnya, Nidza Afham Mokhtar, 23, yang hilang sejak malam tadi agar segera ditemui. Aufahanie berkata, abangnya yang juga seorang penyanyi keluar ke Stadium Sultan Suleiman, Klang sekitar jam 7.54 malam dengan menaiki e-hailing untuk berjogging. Bagaimanapun, katanya, dia gagal dihubungi selepas jam 9.13 malam. "Teman wanita abang, Miera memaklumkan kepada adik yang dia gagal menghubungi Nidza Afham apabila panggilan serta WhatsApp tidak berjawab. "Jadi, Miera hubungi adik minta tolong tengokkan sama ada abang sudah pulang ke rumah. "Bila adik periksa di biliknya, abang masih belum pulang dan mereka kemudian menggunakan aplikasi pencarian telefon bimbit lalu mendapati abang berada di Jambatan Sungai Klang," kongsi Aufahanie. Menurut Aufahanie, ibu dan adiknya bergegas ke jambatan berkenaan untuk mencari abangnya, tetapi gagal. "Ketika ummi dan adik sedang sibuk mencari, ada dua lelaki datang menegur kerana mereka menyangka kereta ummi rosak apabila diletakkan di bahu jalan berhampiran jambatan. "Mereka turut tolong mencari abang dan menemui telefon bimbit serta dompetnya sekitar jambatan, tetapi kad debit dan wang tunai tiada. "Selepas itu barulah ummi dan adik maklumkan dalam kumpulan WhatsApp keluarga bagi memaklumkan kehilangan abang. "Jadi, saya minta ummi dan adik terus buat laporan polis, semalam. Sejak jam 1 pagi hingga sekarang, kami masih lagi tak berputus asa mencari abang," katanya. Kata Aufahanie, abangnya tidak menunjukkan perilaku pelik sebelum kehilangannya. "Setiap hari kami berborak, saya dan abang gemar menghantar video TikTok kelakar antara satu sama lain, jadi saya tak nampak ada apa-apa perubahan kepada abang. "Saya mohon doa semua agar abang saya dapat ditemui," katanya. SUMBER: Berita Harian |
ADVERTISEMENT