Tidak semua pelakon yang menyahut cabaran membawakan aksi lagak ngeri berdepan laluan mudah. Selain mengalami kecederaan ada di antaranya berdepan kesan sampingan lain seperti masalah kesihatan, pengsan dan sebagainya. Begitupun ia dianggap sebagai asam garam kehidupan bagi pelakon yang gemar menyahut cabaran dan mahu menguji kemampuan diri. Perkara itu diakui superstar Hong Kong, Jackie Chan yang tidak terkecuali berdepan pelbagai pengalaman menarik. Aktor berusia 70 tahun itu, mendedahkan dia pernah pengsan ketika menjalani penggambaran filem Panda Plan di mana ketika itu dia sedang melakukan aksi lagak ngeri. "Badan saya rasa lemah dan nak rebah secara tiba-tiba. Melihat keadaan itu kru produksi terus berlari ke arah saya untuk memastikan saya selamat. "Saya seperti tidak sedar dan bertanya pada mereka 'Apa dah jadi?'... Apabila diberitahu saya pengsan, rasa macam tak percaya pula dan menganggap mungkin ia berlaku kerana saya menahan nafas ketika melakukan aksi itu," katanya.
Seperti yang dijangkakan, Jackie berkeras menyatakan dia dalam keadaan baik tetapi memerlukan bantuan untuk bangun. Kemudian selepas berehat seketika, mereka kembali menjalani penggambaran adegan yang sama. "Ia bukan masalah besar, saya perlu meyakinkan semua orang bahawa saya baik-baik saja. Jika tidak, mereka akan menggunakan pelagak ngeri menggantikan saya. "Jika saya hanya duduk di tepi sambil melihat pihak produksi menggunakan pelagak ngeri, saya akan berasa sangat bersalah!" kata Jackie yang terkenal dengan genre filem aksi. Teraju filem Panda Plan arahan Zhang Luan itu turut berdepan pelbagai aksi yang membuatkan penonton teruja menyaksikan filem yang mula ditayangkan di pawagam Malaysia sejak 10 Oktober ini. Selain Jackie, filem Panda Plan turut menampilkan panda Hu Hu sebagai bintang utama. Dengan mata yang unik, Hu Hu menambah daya tarikan tersendiri kepada karektornya. Dalam rakaman yang didedahkan, kelebihan Hu Hu seperti memeluk kaki pelakon pasti akan menambat hati penonton. Filem komedi aksi ini mengisahkan bintang kung fu, Jackie Chan diundang untuk menjaga anak panda popular, Hu Hu. Namun, Hu Hu menjadi sasaran organisasi jenayah antarabangsa. Jackie terpaksa bekerjasama dengan pengurusnya, David (Wei Xiang) dan penjaga panda, Su Xiaozhu (Shi Ce) membentuk satu pasukan untuk menyelamatkan "khazanah" itu dalam satu operasi penyelamatan antarabangsa. Sumber - Harian Metro |
Belibis replied at 11-10-2024 09:30 AM
Baik jadi pelakon malaysia la..aksinya kat meja makan dengan kat opis sambil main solitare.
ADVERTISEMENT