"Kepada Allah saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dengan kurniaan bakat, saya berpeluang memanfaatkannya untuk memberi nilai-nilai positif, inspirasi dan pengaruh yang baik.
"Seni juga menghubungkan dan menyatukan kita tanpa mengira agama, bahasa, bangsa dan negara," katanya.
Siti berkata, dia akan terus menggandakan usaha memberikan nilai positif dalam mengekalkan seni budaya untuk terus dihormati, dijaga dan dihargai.
"Inilah warisan yang kita ada dan perlu dipelihara," katanya.
Penganugerahan itu juga mengingatkan Siti kepada kata-kata bapanya, Allahyarham Tarudin Ismail yang sering mengibaratkan dia seperti bunga melur yang juga lagu kegemaran bapanya.
"Ibarat gadis desa bunga melur, sederhana. Walau kering tak bercahaya bunga melur. Baumu memikat jiwa," katanya.
Menurut ibu kepada dua cahaya mata ini, setiap kali meraih kejayaan, dia sentiasa mengingatkan dirinya di mana ia adalah rezeki hasil berkat doa dan sokongan semua pihak yang selama ini menjadi tulang belakang kerjaya seninya yang sudah mencecah 29 tahun.
"Saya juga ingin merakamkan penghargaan yang tulus khususnya kepada orang-orang terdekat saya iaitu suami, anak-anak, ibu, arwah bapa, kaum keluarga, pengurusan, petugas dan kakitangan.
"Tidak ketinggalan, rasa terima kasih ingin saya panjangkan kepada syarikat-syarikat rakaman serta semua penerbit, komposer dan penulis lirik yang pernah terbabit dalam kerja-kerja penerbitan album saya.
"Penghargaan juga buat semua sahabat-sahabat media di semua platform yang setia memberi sokongan kepada karier saya selama ini.
"Tidak dilupa buat peminat-peminat tersayang dan pencinta muzik di seluruh rantau ini serta semua yang sudah mendukung kerjaya saya. Tanpa pembabitan anda semua, pencapaian ini tidak mungkin dapat saya kecapi," katanya.
Siti juga berharap penghargaan yang diterimanya ini boleh menjadi inspirasi dan motivasi buatnya untuk terus menghasilkan karya-karya terbaik dan membawa keindahan seni muzik Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.
Sempena penganugerahan itu, Siti membawa pulang wang tunai RM30,000, kain songket, watikah serta trofi dan status sebagai Seniman Tamu.
ASN2024 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya adalah penghormatan tertinggi kerajaan kepada penggiat seni atas sumbangan dalam bidang kesenian negara, sekali gus melonjakkan tokoh seni tempatan sebagai seniman bertaraf dunia.
SUMBER: – KOSMO! ONLINE