SEBERANG PERAI – Lelaki etnik Rohingya yang bertindak mengorek bebola mata kiri seorang lelaki tempatan hingga mangsa mengalami cacat kekal akan didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth di sini, Jumaat ini. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, pendakwaan ke atas suspek akan dilakukan sejurus tempoh reman terhadapnya yang dilanjutkan tiga hari lagi, bermula hari ini berakhir. “Reman ke atas suspek warga Rohingya disambung lagi hari ini dan akan dituduh di mahkamah Jumaat ini. “Siasatan masih dijalankan termasuk mendapatkan pengesahan berhubung dokumen perjalanan suspek ke negara ini daripada pihak Imigresen,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. Dalam pada itu, katanya lagi, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan dan pemantauan daripada pakar di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth dengan diiringi anggota polis kira-kira pukul 10.45 pagi tadi. Suspek turut diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Husna Ridzuan. Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki terpaksa berdepan detik ngeri apabila bebola mata kirinya dikorek suspek warga asing dalam kejadian pergaduhan berhampiran flat Rathina, Tasek Gelugor, Sabtu lalu. Sumber : – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT