MANILA – Sebuah kapal dan pesawat perang Manila dikerah untuk menjejaki kapal selam Russia yang belayar melalui Laut China Selatan di luar pantai barat Filipina pada minggu lalu, lapor akhbar Arab News semalam. Kapal selam kelas Kilo itu dilihat di zon ekonomi eksklusif (EEZ) Filipina pada 28 November, kira-kira 150 kilometer dari wilayah Occidental Mindoro, barat Filipina, demikian menurut Angkatan Tentera Filipina. “Pada mulanya, kami terkejut. Kami bimbang mengapa ada kapal selam (Russia)di sana,” kata jurucakap Tentera Laut Filipina untuk Laut China Selatan, Komodor Roy Vincent Trinidad. “Kami mengerahkan empat pesawat berbeza dalam tempoh empat hari. Kami berada pada kedudukan bersedia dan menghantar kapal frigat serta mewujudkan komunikasi,” tambahnya. Kapal selam Russia tersebut mengenal pasti dirinya sebagai UFA 490.
Trinidad berkata, kapal selam itu sedang menunggu keadaan cuaca bertambah baik dan dalam perjalanan pulang ke bandar Vladivostok di timur Russia selepas menamatkan latihan dengan tentera laut Malaysia. “Ia telah meninggalkan EEZ Filipina dan bergerak perlahan dalam mod permukaan, sesuatu yang luar biasa,” kata Trinidad. Kapal selam kelas Kilo Russia dianggap antara yang paling halimunan dan telah ditambah baik secara kerap sejak tahun 1980-an. Seperti kapal asing yang lain, kapal selam itu mempunyai hak untuk melalui EEZ Filipina di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kebebasan pelayaran Undang-Undang Laut. – AGENSI Sumber – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT