Yana Samsudin terkejut apabila nama suaminya iaitu Fadzil Zahari dipetik oleh netizen gara-gara berita penahanan seorang selebriti berhubung isu dadah pada Disember lalu.
Menurut Yana atau Nurliana Samsudin, 40, ketika kecoh mengenai berita berkenaan, dia dan suami sedang berada di Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan ibadah umrah.
"Saya anggap tuduhan ini sebagai satu dugaan untuk kami sekeluarga yang sedang menunaikan ibadah umrah.
"Bagi saya, apabila kita sedang melakukan satu kebaikan, Allah beri satu dugaan dan ingin melihat bagaimana kami tangani ujian itu.
"Nak dijadikan cerita memang waktu itu kebetulan mata suami saya memang merah sebab alergik dengan cuaca sejuk pada waktu itu," katanya kepada mStar.
Yana berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Sahak Gangster yang diadakan di GSC Tropicana Mall pada malam Khamis.
Pada pertengahan Disember tahun lalu, Yana dan suami berpeluang mengerjakan ibadah umrah selepas menerima jemputan daripada kedutaan Arab Saudi.
Dalam pada itu, Yana memberitahu dia menerima banyak panggilan telefon dan mula menyedari hal itu selepas membaca kiriman mesej daripada kenalan sejurus tiba di hotel penginapan.
"Saya sekeluarga dijemput oleh kedutaan Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah umrah dan ziarah beberapa tempat menarik.
"Ketika kami tiba di Makkah pada jam 3 pagi dan sedang mengerjakan umrah, telefon bimbit kami tak berhenti berbunyi.
"Apabila sampai saja di hotel, suami baru sempat baca mesej dan maklumkan sudah ramai pihak membuat spekulasi mengenai dirinya berhubung penangkapan itu," ujarnya.
Tidak melatah dengan perkara itu, Yana bagaimanapun menasihati suaminya untuk tidak ambil pusing mengenai spekulasi berkenaan dan meminta Fadzil fokus terhadap ibadah umrah.
"Saya pun terus cakap kepada dia, abaikan saja perkara itu dan tinggalkan (segala hal) di Malaysia. Itu saja ayat yang keluar daripada mulut saya.
"Cuma saya terkejut individu yang kena (tahan) itu. Harap beri pengajaran kepada semua orang dan dipermudahkan segala urusan," katanya.
Pada Disember tahun lalu, pelawak Along Cham merupakan selebriti yang ditahan di kediamannya di Cyberjaya kerana dipercayai memiliki dua paket dadah jenis ganja.
Along bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dadah jenis ganja anggaran berat 58.23 gram.
Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|