Demi memastikan cita-cita Talita menjadi seorang penyanyi terlaksana, pelawak Shuib mendapatkan khidmat nasihat daripada individu rapat dengan Allahyarham isterinya iaitu Siti Sarah.
Shuib atau Shahmira Muhamad, 41, berkata, dia sudah pun bertemu dengan komposer Ajai dan Aidit Alfian yang pernah menghasilkan lagu untuk Siti Sarah bagi membincangkan hala tuju anak perempuannya.
Kata Shuib, dia mendapatkan nasihat Ajai dan Aidit kerana mereka merupakan individu penting dalam karier Allahyarham.
"Saya sudah bertemu dengan beberapa orang seperti Ajai dan Aidit Alfian untuk bertanya apa perlu saya lakukan pada Talita.
"Mereka ada cadangkan beberapa cara kepada saya malah meminta saya untuk mencari guru vokal untuk Talita.
"Talita juga perlu ke sekolah muzik sekiranya mahu mendalami nyanyian dan perkara itu sedang saya fikirkan sedalam-dalamnya ketika ini," katanya ketika dihubungi mStar.
Berkongsi lebih lanjut, Shuib enggan Talita hanya sekadar menjadi penyanyi biasa sebaliknya menjadi penghibur seperti arwah ibunya.
Jelasnya, pengalaman hidup bersama arwah Siti Sarah sebelum ini mengajarnya memahami kriteria menjadi penyanyi yang terbaik.
"Saya ini cerewet dalam nyanyian walaupun saya bukan penyanyi tapi saya pernah hidup dengan penyanyi.
"Saya tahu macam mana nyanyian yang bagus kerana sudah lama sangat dengan arwah. Jadi saya tak nak Talita hanya dapat tumpuan tapi tiada nilainya," ujarnya.
Sementara itu, Shuib memberitahu Talita sememangnya bercita-cita ingin menjadi penyanyi sejak berusia lima tahun.
Pun begitu, dia tidak pernah menujukkan bakat nyanyiannya di hadapan orang ramai melainkan adik-beradiknya.
"Setiap tahun dia kata mahu jadi penyanyi tapi tiada usaha, dia hanya menyanyi di dalam bilik dan tidak mahu menyanyi di depan saya.
"Saya buat siaran langsung semasa dia menyanyi ini pun untuk bina keyakinan dia," luahnya.
Sebelum ini, Talita atau Dzahira Talita Zahra, 12, mendapat sokongan ramai selepas membuat persembahan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|