Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI) membuat kejutan apabila sah memecat ketua jurulatih, Shin Tae-yong, hari ini. Keputusan pemecatan jurulatih dari Korea Selatan itu diumumkan PSSI menerusi satu kenyataan media di laman sosial persatuan itu. "PSSI mengumumkan penamatan kontrak Shin Tae-yong sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia Senior dan U-23. "Keputusan ini dibuat berdasarkan pertimbangan yang panjang dan matang serta penilaian yang dilakukan oleh PSSI dan badan pasukan kebangsaan secara menyeluruh terhadap prestasi pasukan dan matlamat jangka panjang yang ingin dicapai oleh PSSI. "PSSI mengucapkan terima kasih dan menghargai segala sumbangan yang telah diberikan untuk pembangunan pasukan kebangsaan bola sepak Indonesia. PSSI berharap yang terbaik untuk Shin Tae-yong pada masa depan," kata badan induk itu.
Untuk rekod, pengendali kelahiran Korea Selatan itu memacu Sang Garuda ke perlawanan peringkat kalah mati dalam saingan Piala Asia Qatar 2023, tahun lalu. Tae-yong juga berjaya membawa Indonesia melayakkan diri secara merit ke Piala Asia Arab Saudi 2027 dan sedang menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026. Susulan keputusan mengejut itu, nama jurulatih terkemuka dunia iaitu Louis van Gaal disebut-sebut bakal mengisi posisi ditinggalkan Tae-yong. Memandangkan hampir keseluruhan pemain kacukan atau naturalisasi Indonesia mempunyai pertalian dengan Belanda, maka Van Gaal dilihat calon hangat untuk di bawa membimbing pasukan itu. Sumber : – Harian Metro |
ADVERTISEMENT