SHAH ALAM: Pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail membidas pandangan segelintir pihak yang mendesak skuad Harimau Selatan supaya keluar daripada Liga Malaysia (Liga M) selepas terlalu mendominasi kancah bola sepak tempatan.
Malah, Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor itu menyifatkan, pasukan lain tidak seharusnya menyalahkan JDT yang sentiasa berada di depan dan mencipta pelbagai kejayaan dalam kancah domestik selain mencetus impak pada saingan benua seperti Piala AFC dan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Justeru, Tunku Mahkota Ismail menegaskan setiap pasukan seharusnya memikirkan cara yang terbaik untuk memajukan pasukan masing-masing dan mengurus tadbir pasukan dengan lebih berkesan.
"Kitalah satu-satunya kelab. Patut yang ada berasa bangga kita mewakili negara, Asia Tenggara dan memberi sumbangan dalam AFC MA Ranking. Ini tidak, nak kami keluar dari liga dan kutuk liga sendiri pasal tak puas hati.
"Pasukan sendiri dan orang dalam pengurusan masing masing yang tak betul dengan pelbagai isu, salahkan liga dan badan induk. Anda urus dana anda sendiri, perancangan pasukan, pembangunan, dan infra tak betul, tapi ambil jalan mudah salahkan orang lain.
"Mentaliti lemah dan tak bertanggungjawab," kata Tunku Mahkota Ismail menerusi kemas kini di InstaStory.
Terdahulu, skuad bimbingan Hector Bidoglio meraih tiga mata penting dalam saingan ACLE apabila menewaskan kelab Liga Australia, Central Coast Mariners 2-1 di Central Coast Stadium, semalam.
Kemenangan itu membolehkan JDT berada di tangga kelima bagi kedudukan Zon Timur dengan 11 mata sekali gus meletakkan mereka pada kedudukan yang baik untuk mara ke pusingan kalah mati berbaki satu perlawanan lagi.
Sebagai rekod, hanya lapan pasukan terbaik daripada setiap zon akan mengesahkan tiket ke pusingan seterusnya.
Aksi terakhir ACLE buat JDT akan menyaksikan mereka berdepan wakil Korea Selatan, Pohang Steelers di laman sendiri pada 18 Februari nanti.
Sumber : Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|