Gara-gara terlalu khusyuk menyanyi, penyanyi Nadeera Zaini tanpa sengaja menaikkan jari tengahnya sehingga menimbulkan rasa kurang senang netizen.
Menjawab mengenai perkara itu, Nadeera atau Farah Nadeera Zaini, 32, berkata tindakan itu dilakukan secara spontan dan bukannya ingin bersikap biadab.
Naib juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) ini turut meminta maaf di atas keterlanjurannya itu.
"Saya betul-betul tak sengaja, sebenarnya jari saya nak menahan veil dari muka.
"Jadi saya pegang mikrofon itu tak perasan jari tengah saya terangkat, sepatutnya saya angkat jadi telunjuk.
"Tapi kepala masa itu sudah fokus kepada lagu. Saya minta maaflah yang menyaksikan kejadian itu," katanya kepada mStar.
Nadeera berkongsi perkara itu selepas selesai rakaman Citra Reka Busana yang berlangsung di Angkasapuri pada malam Selasa.
Menurut Nadeera, perbuatan tidak sopan itu merupakan kejadian kali pertama memandangkan selama ini dia berhati-hati dengan tingkah lakunya.
"Itu kali pertama, selama ini saya berhati-hati," kongsinya.
Dia yang tenang berdepan dengan segala kata-kata negatif memilih tidak membaca komen di media sosial bagi menjaga kesihatan mental dan emosinya.
Kata Nadeera, dia seorang yang mudah terluka dan cepat 'sentap' apabila membaca komen negatif netizen.
"Saya dilarang oleh pengurus dan pasukan saya daripada membaca komen kerana saya mudah beremosi, sangat rapuh dan mudah tersentap.
"Tapi sebagai manusia biasa ada juga saya baca komen sedikit, kalau ternampak benda negatif terus saya tutup media sosial saya," luahnya.
Dalam pada itu, Nadeera berkata tugasnya hanya ingin mencari rezeki halal sebagai seorang penyanyi sekali gus enggan mempedulikan kata-kata negatif.
"Tak kisahlah orang nak cakap apa mengenai saya kerana saya hanya mencari rezeki.
"Kita tak boleh nak tutup mulut orang, kita pun tak boleh paksa orang suka dengan kita.
"Terpulang pada mereka, saya hanya beri yang terbaik pada karya saya," katanya lagi.
Sebelum ini, tular di media sosial video Nadeera mengena busana putih menyanyi di sebuah acara sambil jari tengahnya terangkat menjadi bualan netizen.
Sementara itu, rancangan Citra Reka Busana pertunjukkan fesyen yang memberi penghormatan terhadap warisan fesyen Malaysia yang disampaikan dalam bentuk muzikal.
Citra Reka Busana ini bakal bersiaran pada 5 April depan, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV2 dan juga boleh ditonton menerusi RTMKlik.
Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|