Kontroversi membabitkan penyanyi Adzrin Ameruddin yang didakwa mencuri kamera dalam satu majlis perkahwinan pada 15 Februari lalu akhirnya diselesaikan secara baik. Menurut wakil syarikat pengurusannya, Take Five Record, Adzrin dan individu terbabit, Nureen Iman, mencapai kata sepakat selepas bertemu pada Selasa lalu dengan kehadiran pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya. “Kedua-dua pihak sudah memberikan keterangan yang jelas dan pihak berkuasa berpuas hati dengan resolusi ini. Segala kekeliruan sudah diselesaikan secara harmoni,” katanya kepada mStar. Tambahnya, Nureen turut bersetuju memadam semua hantaran di media sosial yang menimbulkan kekecohan bagi membersihkan nama Adzrin dalam tempoh dua hingga tiga hari. “Alhamdulillah, semuanya diselesaikan secara baik dan pihak berkenaan juga memuat naik kenyataan rasmi daripada pihak kami,” katanya lagi.
Terdahulu, tular di media sosial apabila seorang individu mendakwa Adzrin, 25, mengambil kamera miliknya dalam majlis tersebut. Bagaimanapun, Adzrin memilih untuk tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung dakwaan itu sehingga isu berkenaan selesai. SUMBER: mStar |
ADVERTISEMENT