Mexico City: Selepas 25 tahun kejadian seorang bayi perempuan diculik di Connecticut, Amerika Syarikat (AS), akhirnya dia ditemukan masih hidup di Mexico.
Mengikut hasil penyiasatan, Andrea Michelle Reyes berusia dua tahun ketika dilarikan oleh ibunya, Rosa Tenorio, pada Oktober 1999, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Polis New Haven.
The Guardian melaporkan, Tenorio tidak memiliki hak penjagaan sah ke atas Reyes yang pada waktu itu berada di bawah jagaan bapanya, kata pihak polis.
Polis New Haven dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS sudah mengeluarkan waran tangkap jenayah terhadap Tenorio yang disyaki melarikan diri bersama anaknya ke Mexico, menurut pihak polis.
Sebelum ini, bapa Andrea beberapa kali pergi ke Mexico, namun gagal menghubungi dua beranak itu.
Kes orang hilang itu terhenti sehinggalah pada 2023, apabila seorang detektif polis memulakan semula siasatan mengenai penculikan Andrea.
"Dengan menggunakan kaedah semak silang gabungan temu bual, waran penggeledahan dan media sosial, detektif Kealyn Nivakoff mengesahkan bahawa Reyes tinggal di bandar Puebla, Mexico – yang mempunyai lebih satu juta penduduk – selepas diculik oleh Tenorio," kata pihak polis.
Ujian padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan hubungan antara Reyes dan bapanya, yang akhirnya dapat bersatu semula selepas lebih dua dekad.
"Sepanjang tahun-tahun itu, bapa Andrea tidak putus asa mencari, tetapi tidak pernah mendengar khabar daripada anak perempuannya atau si ibu," kata syarikat ujian DNA, Othram, yang terbabit dalam kes ini, dalam kenyataan akhbar.
Reyes, yang kini berusia 27 tahun, adalah penduduk Mexico, kata Othram. Waran tangkap untuk Tenorio masih sah dan aktif di AS, menurut pihak polis, yang turut menambah bahawa mereka percaya suspek penculikan itu masih berada di Mexico.
Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|