CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Gaya Hidup Lihat artikel

Sudah lama saya tunggu detik ini - Shah Firdaus

17-3-2025 02:09 PM| Diterbitkan: CARI-HBZ| Dilihat: 28934| Komen: 0|Original author: tatod

shahu16325_1742086713.png


KUALA LUMPUR: Impian yang sekian lama dipendam akhirnya menjadi kenyataan buat pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Pelumba berusia 30 tahun itu mencipta sejarah tersendiri apabila meraih pingat emas dalam acara keirin pada Piala Negara-Negara UCI di Turkiye, awal pagi tadi.

Sebelum ini, Shah Firdaus sering berpuas hati dengan pingat perak dan gangsa dalam kejohanan utama yang disertainya.

Namun kali ini, dia akhirnya merealisasikan impiannya untuk berdiri di puncak podium.

Pada aksi final di Velodrom Konya, Shah Firdaus mempamerkan kayuhan bertenaga dengan memintas pencabarnya beberapa meter sebelum garisan penamat.

Pelumba Perancis yang juga bekas pemenang pingat gangsa Olimpik dalam acara pecut berpasukan, Sebastien Vigier terpaksa akur di tempat kedua manakala juara Asia dari Jepun, Shinji Nakano membawa pulang gangsa.

Sejurus selepas kemenangan bersejarah itu, Shah Firdaus mengakui tidak menyangka dapat meraih emas dan berasa amat gembira dengan pencapaiannya.

"Pertama sekali, saya sendiri tidak tahu bagaimana saya melakukannya. Ia adalah hari yang panjang dan perlumbaan yang sangat sukar sejak pusingan pertama. Saya rasa pasukan dan jurulatih sudah melakukan kerja yang sangat baik dalam merancang segala-galanya.

"Saya amat gembira hari ini. Saya sudah lama menantikan saat ini. Sebelum ini, saya pernah mendapat tempat kedua dalam Piala Negara-Negara, tetapi hari ini adalah hari saya. Saya menang emas," katanya kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Sebelum ini, pencapaian terbaik pelumba kelahiran Johor itu dalam saingan Piala Negara-Negara adalah pingat perak acara keirin di Kaherah, Mesir pada 2023, selain menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan.

Kemenangan kali ini menjadi penebus kekecewaannya di Sukan Olimpik Paris tahun lalu, apabila dia tersingkir daripada perebutan pingat akibat kemalangan sewaktu menuju ke garisan penamat.

Sementara itu, pengarah teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley turut memuji usaha gigih Shah Firdaus yang akhirnya membuahkan hasil.

"Shah berjaya menembusi tembok cabaran dan memenangi pingat emas pertamanya dalam Piala Negara-Negara malam ini dalam acara keirin. Dia sudah bekerja keras selama bertahun-tahun, memenangi pingat gangsa dan perak, dan kini dia melengkapkan koleksinya.

"Kepada pasukan prestasi tinggi, terima kasih atas kerja keras anda. Saya berharap anda turut meraikan kemenangan ini kerana anda adalah sebahagian besar daripada kejayaan malam ini," katanya.



Sumber: BH Online


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-3-2025 12:03 PM GMT+8 , Processed in 0.099129 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top