|
Penyanyi, Iman Troye menafikan individu yang dimaksudkan dalam video luahan perasaan yang dimuat naik di TikTok, dua hari lalu, adalah usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman. Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Alyssa Sahabudin, 23, berkata perkongsian itu sekadar meluahkan pandangan peribadi dan tidak ditujukan kepada mana-mana individu secara spesifik. "Saya rasa itu cuma 'thoughts' yang saya kongsi. Saya tidak menyebut nama sesiapa dan tidak ditujukan kepada siapa-siapa. "Tetapi kalau dia terasa, mungkin dia tahu itu dia," katanya ketika ditemui pada acara pertunjukan fesyen di KWC Fashion Wholesale Mall, di sini, semalam. Iman berkata, perkongsian berkenaan dibuat selepas dia menyiapkan single raya hasil kerjasama mereka, sekali gus mengimbau kembali pelbagai memori lama. "Sebab kami sedang siapkan single raya dan bila 'rewind' balik, saya rasa banyak memori tahun lalu. Jadi bila ingat dengan siapa saya bekerjasama, saya teringat. "Saya cuma berkongsi dan tidak ada niat memburukkan sesiapa. Kalau ada yang terasa, saya tak boleh cakap apa. Siapa makan cili, dia rasa pedas. "Kalau ada yang terasa, saya minta maaf. Tapi saya tak sebut nama pun. Sebenarnya tak membabitkan apa-apa yang besar, cuma sikap," katanya.' Mengulas dakwaan segelintir pihak yang menggelarkannya sebagai 'ratu gimik' sehingga menyebabkan orang ramai sukar mempercayai perkongsiannya, Iman mengakui apa yang dilakukannya sering disalah tafsir. "Sebenarnya semua yang saya lakukan agak 'random'. Saya cuma muat naik dan orang percaya. Saya tidak letak tajuk, tetapi orang buat andaian. Saya tak keluarkan kenyataan pun. "Tapi betul, orang macam sudah perlahan-lahan tak percaya apa yang saya buat. Saya tak kisah pun. Saya cuma kongsi benda seperti orang lain juga di media sosial. Orang nak panggil saya apa pun, saya tak kisah," katanya. Terdahulu, Iman menerusi perkongsian di TikTok menyifatkan duet bersama seorang 'founder' sebagai keputusan paling teruk yang dilakukannya tahun lalu. "Keputusan paling teruk yang saya buat pada tahun lalu adalah duet dengan seorang 'founder'," tulisnya. Perkongsian itu mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen yang mengaitkannya dengan Aliff Syukri. Aliff turut menggunakan semula video berkenaan dan meluahkan rasa kurang senang di laman sosial miliknya. Bagaimanapun, ada pihak menyifatkan situasi itu sekadar gimik menjelang kemunculan lagu raya duet baharu mereka. Sumber: Berita Harian
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
13-2-2026 10:06 PM GMT+8 , Processed in 0.585852 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.