Jika anda dimaklumkan bahawa kediaman yang menarik minat anda itu memiliki sejarah yang kurang enak, mahukah anda membelinya? Sudah pasti anda akan berfikir banyak kali. Kemungkinannya, anda akan menolak untuk membeli kediaman tersebut bukan? Lebih-lebih lagi jika ‘sejarah’ kediaman tersebut melibatkan kehilangan nyawa. Namun, segelintir penduduk di Hong Kong kini tidak lagi 'berkira'. Menurut sebuah artikel dari The Telegraph, Hong Kong menduduki tempat keenam bandar yang paling padat di dunia pada tahun 2017. Kepadatan yang tinggi telah menyebabkan harga hartanah di sana melambung tinggi. Awal tahun ini, South China Morning Post (SCMP) telah melaporkan bahawa sebuah flat nano yang hanya bersaiz 121 kaki persegi telah memecah rekod penjualan hartanah di Hong Kong dengan mencatatkan harga jualan sebanyak HKD1.93 juta! (bersamaan RM1.01 juta).
Mahal bukan? Ini menyebabkan ada pihak yang mengambil pendekatan yang di luar kotak demi memiliki sebuah kediaman di Hong Kong. Sebuah syarikat berasaskan teknologi telah memperkenalkan sebuah laman sesawang, Spacious.hk bagi membantu mereka yang sanggup mengabaikan sejarah kurang elok sesetengah kediaman demi harga yang lebih mampu milik.
Memetik sebuah artikel berlainan dari SCMP, CEO merangkap pengasas Spacious.hk, Asif Ghafoor menegaskan bahawa latarbelakang sesebuah kediaman tidak boleh disangkal sebagai salah satu faktor yang nyata mempengaruhi harga kediaman tersebut. Menurutnya lagi, harga jualan bagi kediaman yang memiliki laporan kes kematian boleh merosot sehingga 50 peratus dari nilai asalnya. Data dari laporan media Data-data bagi kediaman bermasalah ini dianalisis dari laporan-laporan media tempatan. Walau bagaimanapun, Ghafoor turut mengakui wujudnya implikasi undang-undang sekiranya berlaku kesilapan data. Oleh itu, penandaan menggunakan ikon hantu hanya dilakukan setelah data yang diperoleh adalah sahih dan melampaui keraguan. Selain itu, alamat terperinci bagi kediaman-kediaman bermasalah ini turut dirahsiakan. Kediaman-kediaman sebegini kini menjadi tumpuan golongan ekspatriat dan mereka yang tidak mempercayai hal mistik. Bertindak secara dua hala, Spacious.hk turut dimanfaatkan oleh pemilik rumah konservatif yang mahu mengelak dari terbeli mana-mana kediaman bermasalah. Namun bukan laman sesawang Spacious.hk sahaja yang melaporkan kediaman-kediaman bermasalah. Satu carian Google yang dilakukan oleh penulis berjaya menemukan sebuah lagi laman sesawang, Squarefoot.com.hk. Walau bagaimanapun, maklumat kes-kes kematian disediakan dengan lebih terperinci dan disusun dalam bentuk jadual. Alangkah bagusnya jika terdapat laman sesawang yang serupa di Malaysia. Barangkali, ini merupakan peluang yang wajar direalisasikan oleh syarikat tempatan yang berasaskan teknologi. Menurut anda pula bagaimana, masalah besarkah andai kediaman idaman anda memiliki sejarah yang menakutkan? - CARI |
ADVERTISEMENT