Jika wanita Melayu berbaju kurung, nampak cantik dan 'perempuan terakhir' sangat. Apatah lagi ada yang bukan sekadar memakainya di hari raya atau kenduri kahwin sahaja, tetapi dijadikan busana harian sama ada ke tempat kerja, ke pusat beli-belah dan lain-lain lagi, aduhai indah sangat pemandangan. Namun, pernahkah anda melihat lelaki yang memakai busana Melayu, lengkap dengan tengkolok dan capal seperti pahlawan Melayu di zaman silam? Agak janggal bukan? Namun inilah yang mahu dibuktikan oleh pemuda ini yang mahu mengajak orang ramai menghargai busana tradisi sekaligus tidak mencerca mereka yang memakainya.
Bagaimanapun ramai netizen yang menganggap lelaki ini sebenarnya mahukan perhatian. Maklumlah apabila berpakaian lain dari yang lain, berjalan pula di khalayak ramai, pastinya mengundang mata-mata memandang. Bagi segelintir netizen, aksi pemuda ini lebih kepada 'acah viral' bukannya mahu memartabatkan busana Melayu. Jika bernasib baik, ia menjadi tular hingga dijemput ke dalam program misalnya Motif Viral. Bagaimanapun, pendapat tersebut dibantah oleh segelintir netizen lain yang menyatakan tiada salahnya memakai baju tradisional. Malahan ia harus dipuji kerana menaikkan martabat busana Melayu yang sebenarnya. Jadi abaikan sahaja mulut-mulut yang tahu mengata sahaja. "Rasanya orang tiada masalah pun kau nak pakai macam ni. Masalahnya apabila kau menulis yang membawa maksud 'Melayu lupa daratan'. Tu yang salah." Ya. Tulisan Jebat Derhaka pun agak keras dan mungkin membuatkan orang lain terasa. Walaupun dia menyatakan ia adalah kiasan berunsur sindiran, tetap tidak elok dituturkan oleh individu yang mengaku mahu memperjuangkan tradisi Melayu, dalam masa sama menyindir orang lain. Seolah-olah ketam mengajar anaknya berjalan betul. Sebenarnya, tiada salah pun memakai busana tradisional. Malahan ia harus dipuji kerana memartabatkan budaya yang semakin hilang dek keterbukaan ramai individu yang lebih selesa memakai baju moden. Namun begitu, bahasa Melayu turut dipuji antara yang mempunyai kiasan mendalam dan tersirat, bukannya menyindir hingga menyakitkan hati orang lain. Apa pun, semoga kita lebih terbuka dengan kesedaran untuk berpakaian tradisi ini. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|