Remaja perempuan berusia 17 tahun terjebak dengan pinjaman along berjumlah RM 12 000. Dia merupakan peminjam termuda yang direkodkan oleh Unit Banteras Ceti Haram, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) setakat ini.
Harian Metro melaporkan, semua wang yang dipinjam dibelanjakan untuk teman lelakinya, termasuk duit poket dan ansuran bulanan motosikal. Dia menghadapi masalah untuk melunaskan pinjaman sejak lima bulan lepas kerana hanya bekerja sebagai pembantu di kedai serbaneka. Mereka berdua menjalin cinta sejak berjumpa tahun lepas selepas tamat sekolah. Difahamkan dia memberikan wang kepada lelaki yang tidak bekerja itu kerana sayang. “Selepas itu, dia minta untuk memberikannya wang lebih kerana ingin membeli motosikal. Tanpa berfikir panjang, saya kemudiannya membuat pinjaman along berjumlah RM2,000 dan bantu bayarkan ansuran bulanan. “Saya memang tidak fikirkan apa kesannya kerana sayangkan dia dan ingin menjalani hidup bersama. Tidak lama kemudian, saya pinjam lagi kerana nak gunakan wang. Gaji saya sebagai pembantu di kedai tidak seberapa." “Atas nasihat keluarga, saya rujuk masalah ini kepada PPIM dan cuba berunding dengan teman lelaki. Malangnya dia seperti ingin mengelak dan tidak menjawab pertanyaan yang dibuat." Aduan dibuat kepada Pengarah Unit Banteras Ceti Haram PPIM Azman Kang. Azman berkata pihaknya akan cuba berbincang dengan lelaki terbabit namun masih belum berhasil. Agak sulit kerana pinjaman dibuat atas nama gadis terbabit. “Setakat ini, berdasarkan rekod kita, dia adalah peminjam termuda kerana sebelum ini kita terima aduan daripada mangsa berusia 20 tahun. Apa yang berlaku, pada usia semuda ini, dia tidak dapat mempertimbangkan baik buruk tindakannya itu. “Bukan mudah untuk berurusan dengan ramai along, apatah lagi dia baru saja tamat sekolah tahun lalu. Unit ini akan cuba membantu dan kita akan jadualkan semula pembayaran yang dipersetujui bersama antara keluarga dan along. “Nasihat saya supaya dia tidak mengulangi kesilapan sama pada masa depan dan jangan mudah percaya kepada janji manis orang baru dikenali. Kita terima banyak kes penipuan dalam urusan pinjaman along ini dan ia memberi kesan seperti ancaman serta ugutan kepada peminjam dan ahli keluarga." -CARI
|
ADVERTISEMENT