Seorang anggota polis di Pulau Ambon, Indonesia bertindak nekad menggadai nyawa memanjat tiang elektrik bagi menyelamatkan seorang pekerja syarikat vendor Perusahaan Listrik Negara (PLN) yang terkena renjatan elektrik. Memetik laporan Indopos pada 10 Mei, anggota polis berkenaan, Angga Badina tidak berfikir panjang bagi menurunkan mangsa, Mualif, 25, dari tiang elektrik itu. Mualif yang merupakan pekerja kontrak di Kantor PT PLN Wilayah Maluku-Maluku Utara terkena renjatan ketika memasang meter elektrik pintar pada tingkat empat gedung milik PT. Tanto yang baru siap dibina. Dia menjerit meminta pertolongan dan Angga yang berada di lokasi kejadian terus mengambil tangga dan berusaha menyelamatkan mangsa.
Aksi nekad Angga yang berdepan risiko terkena renjatan elektrik turut disaksikan oleh orang ramai di sekitar lokasi kejadian. Insiden itu menyebabkan tangan kanan Mualif hangus sekali gus menjadikan dia lemah dan tidak berdaya untuk turun sendiri dari tiang letrik tersebut. Setelah mangsa berjaya diselamatkan, dia dihantar ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan. Tindakan nekad Angga menyelamatkan mangsa tanpa menghiraukan keselamatan dirinya wajar diberi pujian dan penghargaan. - CARI
|
ADVERTISEMENT