Amalan menziarahi kubur insan-insan tersayang yang telah meninggal dunia menjadi satu kelaziman bagi umat Islam di negara ini selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri. Merujuk kepada laman sesawang E-Pusara Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), terdapat adab dan peraturan mengikut turutan yang perlu dipatuhi oleh mereka yang ingin menziarahi kubur: 1. Bersih daripada hadas dan disunatkan berwuduk. 2. Disunatkan memberi salam secara umum kepada semua ahli kubur serta mendoakan mereka beroleh rahmat daripada Allah SWT dan kesejahteraa.
3. Apabila sampai di kubur kaum keluarga atau kenalan, hendaklah berdiri rapat di tepi kubur dengan menghadap muka si mati serta sambil memberi salam secara khusus kepada arwah. 4. Disunatkan membaca ayat-ayat suci al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada arwah. 5. Menghadap kiblat dan berdoa semoga Allah mengampuni dosa arwah dan melimpahkan rahmat ke atas rohnya. Bagi menghormati arwah, terdapat beberapa larangan yang wajib dihindarkan semasa menziarahi kubur iaitu: 1. Duduk di atas kubur. 2. Berjalan di sela-sela kubur dengan memakai alas kaki kecuali jika ada sesuatu yang membahayakan seperti duri. 3. Meletakkan karangan bunga atau bunga rampai kerana perbuatan ini tidak disyariatkan dalam Islam serta tiada nas daripada Rasulullah SAW dan tidak dilakukan oleh para sahabat radiallahu anhuma. Wajar juga mereka yang ingin menziarahi kubur menjaga tertib seperti berpakaian sopan serta menutup aurat selain tidak membuat bising, berbual tentang hal-hal keduniaan dan asyik berswafoto di kawasan pusara. - CARI
|
ADVERTISEMENT