Tahukah anda mereka yang sukakan seni dan sejarah lebih panjang umur? Jika sebelum ini kita pernah mendengar aktiviti membaca boleh memanjangkan hayat seseorang, penemuan terbaru yang dilakukan Universiti College London membuktikan bahawa kekerapan melakukan aktiviti seni juga mampu memanjangkan hayat. Pelik tetapi ia benar. Walaupun ramai yang mengatakan seni dan sejarah hanya diminati golongan tertentu sahaja, tetapi jika ia mampu menenangkan, apa salahnya kan? Kajian yang melibatkan seramai 6,710 orang dewasa berusia 50 tahun yang kerap melakukan aktiviti seni termasuk berkunjung ke konsert teater, menonton opera, galeri seni dan pameran antara sekali atau dua kali dalam setahun mempunyai risiko meninggal dunia 14 peratus lebih rendah berbanding mereka yang tidak pernah mengambil bahagian dalam aktiviti seni. Penemuan terbaharu itu diterbitkan The British Medical Journal (The BMJ) yang mengambil kira pelbagai faktor dan mengesahkan aktiviti menonton konsert teater juga antara satu cara meningkatkan kesihatan mental. Lebih menarik, hasil kajian juga menunjukkan semakin ramai yang terlibat dengan seni, semakin rendah risiko kematian mereka. Kelebihannya bukan sekadar memanjangkan hayat, tetapi penyelidik mengemukakan teori bahawa seni mengurangkan kesepian dan mengurangkan perilaku risiko negatif. Wah! Siapa sangka, seni dan sejarah boleh meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental, termasuk kemurungan, demensia dan juga penyakit kronik. Jadi, tidak salahlah ambil tahu tentang dunia seni hiburan dan juga sejarah ya. Tahun 2020 baru sahaja bermula, bolehlah aturkan lokasi muzium atau konsert untuk dihadiri. Secara tidak langsung, ia boleh menambah pengalaman dan juga kenalan. Jadi, tidak hairanlah ianya boleh mengelakkan kemurungan atau kesepian. - CARI |
ADVERTISEMENT