Lelaki mabuk membakar rumah sendiri selepas bertengkar dengan isterinya. Harian Metro melaporkan kejadian berlaku di Taman Hijau, Sitiawan, malam tadi. Polis yang menerima panggilan mengenai kejadian daripada orang awam sekitar jam 11.45 malam bergegas ke lokasi dan mendapati rumah pasangan berkenaan sedang terbakar.
Manurut isteri suspek, suaminya pulang dalam keadaan mabuk dan mengganggu jiran yang sedang tidur dengan membuat bising. Berang ditegur kerana membuat bising, lelaki terbabit memarahi isterinya sebelum membakar rumah mereka itu. "Sebelum membakar rumahnya, lelaki itu melanggar pintu pagar, motosikal dan tiang bumbung rumah jirannya dengan menggunakan pacuan empat roda miliknya," kata Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi. Bagaimanapun, suspek dilaporkan melarikan diri melalui pintu belakang rumahnya ketika api marak.
"Rumah pasangan yang masing-masing berusia 40-an itu terbakar 50 peratus dan kebakaran berjaya dipadamkan pasukan bomba. "Kejadian tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa. "Pemeriksaan lanjut polis turut menemui pistol tiruan berkarat dan sedikit terbakar dalam bilik di rumah berkenaan," katanya. Tambahnya, suspek yang memiliki lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah kini dalam buruan polis. "Kerugian dianggarkan kira-kira RM18,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api," katanya. - CARI
|
ADVERTISEMENT