Seorang bayi putus tangan kanan akibat digigit anjing peliharaan keluarganya. Dalam kejadian yang berlaku di Bachang, Melaka itu, bayi berusia tujuh hari berkenaan ditinggalkan sebentar di ruang tamu berdekatan pintu pagar rumah oleh ibu saudaranya.
Astro Awani melaporkan, wanita berkenaan meninggalkannya untuk mengambil air panas untuk mendikannya. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, tujuan bayi bayi berkenaan diletakkan di situ adalah untuk mendedahkannya kepada cahaya matahari dengan tujuan untuk mengurangkan demam kuning yang dihidapinya. “Ketika kejadian, bayi tersebut baru sahaja diberi susu oleh ibu bayi dan kemudian dibantu jaga oleh 'mak cik' (ibu saudara) bayi untuk memandikan bayi tersebut yang mana ibu bayi masih berpantang dan ditemani oleh suaminya berehat di tingkat atas. “Kemudian 'mak cik' bayi itu telah meletakkan bayi di atas bantal berdekatan pintu pagar yang ditutup rapat bagi menjemur bayi dan meninggalkannya seketika bagi mengambil air panas untuk memandikan bayi sebelum kembali semula ke arahnya dalam masa singkat.”
Wanita itu kemudiannya terkejut apabila melihat tangan kanan bayi itu sedang digigit oleh anjing. “Ibu saudaranya panik apabila mendengar bayi itu menangis dengan kuat dan berlumuran darah sebelum melihat anjing tersebut menggigit tangan kanan bayi itu di luar pagar. “Wanita itu kemudian menjerit sekuat hati sebelum jeritannya didengari ahli keluarga dan mereka bertindak membawa bayi itu ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan namun ditolak dan diminta merujuknya ke Hospital Melaka. "Sebaik tiba di Hospital Melaka, bayi terus dibawa ke zon merah bagi mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan doktor pakar ." Bayi itu kini menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur. Anjing tersebut juga dipercayai dari jenis 'Plott Hound' dan telah dibiarkan tanpa diikat atau dikurung di kawasan rumah tersebut bagi tujuan menjaga kawasan rumah. Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001/289 Kanun Keseksaan. -CARI |
ADVERTISEMENT