Vokalis Estranged, Rich bersedia melangkah ke dunia politik dan bertanding pada Pilihan Raya Umum akan datang. Keputusan itu dibuat selepas dua tahun Richael Lawrence Gimbang, 38, melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Estranged di Tambunan, Sabah. "Buat masa sekarang, saya hanya umum mengenai keputusan saya untuk bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, bukan yang terkini. Saya akan bertanding untuk calon wakil rakyat Tambunan.
"Tapi saya tak tahu lagi nak sertai parti mana. Sejak 2018, saya dan ahli kumpulan Estranged selalu membuat CSR ke kampung pendalaman sekitar kawasan Tambunan. Jadi, dah tiba masanya untuk saya bertanding pula. "Saya ada visi sepanjang tiga tahun sebelum pilihan raya seterusnya dan saya mahu lakukan yang terbaik untuk penduduk kampung terutamanya yang berdepan dengan masalah air, elektrik dan internet. "Selain itu, fokus saya juga kepada pendidikan untuk anak-anak muda. Saya nak pastikan generasi muda di perkampungan mendapat pendidikan yang lebih baik," katanya kepada mStar.
Pun begitu, ia tidak bermakna Rich mengucapkan selamat tinggal kepada Estranged dan karier seninya. "Malah, ahli kumpulan saya yang lain juga akan turut membantu saya. Kiranya ini adalah perjalanan Estranged. "Mesti akan ada pihak yang fikir dunia muzik dan politik berlainan tapi saya nak buat sesuatu yang unik dan berbeza dimana dua bidang ini boleh berjalan seiring. "Saya dan rakan-rakan akan pergi ke kawasan perkampungan untuk berkenalan dengan penduduk di sana. Saya tak nak ada pihak kata orang undi saya sebab artis. "Saya nak orang kenal bukan setakat sebagai artis saja tapi boleh buat kerja dan saya juga nak memahami keadaan mereka serta apa yang mereka perlukan," jelasnya.
Lebih 10 tahun dalam industri hiburan, Rich menyatakan bahawa dia kini lebih matang dalam mengawal tekanan apabila berdepan kritikan negatif. Rich juga menjanjikan akan memberi yang terbaik dan mengutamakan rakyat apabila menjadi wakil rakyat nanti. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|