Gaya hidup hari ini bukan saja menyaksikan segelintir pekerja menipu majikan dengan mendapatkan sijil cuti sakit atau medical certificate (MC). Malah, ada juga ibu bapa menyalahgunakannya sebagai bukti sokongan untuk membolehkan anak 'bercuti'.
Perkara ini turut mendapat perhatian seorang doktor yang berkongsi pandangannya menerusi laman Facebook. Kata Dr Chaku atau nama sebenarnya Kamarul Ariffin Nor Sadan, dia kecewa dengan sikap segelintir ibu bapa menunjukkan contoh tidak baik kepada anak, terutama membabitkan perbuatan menipu sebegini. "Jujur saya katakan, ramai ibu bapa bawa anak ke klinik dan paksa doktor beri cuti sakit pada anak, sedangkan anak tu tak sakit. "Pelajar itu tak hadir ke sekolah kerana ikut keluarga bercuti. Ada kerana tak sempat pulang dari kampung kerana jalan raya sesak, ada kerana kenderaan rosak, ada juga kerana kerja sekolah tak siap," luahnya yang kecewa dengan sikap ibu bapa.
Malah, dedahnya ada juga ibu bapa yang sanggup mengugut doktor demi untuk dapatkan juga cuti sakit anak yang tidak sakit itu. "Bila pelajar ini dewasa nanti, pastinya sebahagian besar mereka akan rasa amalan ini adalah amalan biasa. Sebahagian besar mereka akan praktikkan juga amalan ni bila mereka dah bekerja kelak," ujarnya. - CARI
|
ADVERTISEMENT