Ada pelbagai cara yang anda boleh lakukan untuk mencegah kanser payudara. Anda boleh mulakan dengan melakukan perubahan dari segi gaya hidup dan melakukan strategi kesihatan tertentu. Kanser payudara mungkin tidak mempunyai sebarang ubat, namun langkah pencegahan ini boleh dilakukan untuk elakkan diri daripada menghidap penyakit ini. Perubahan gaya hidup untuk mencegah kanser payudaraCara terbaik untuk mencegah kanser payudara ialah dengan melakukan perubahan dari segi gaya hidup. Sebagai permulaan, banyakkan bersenam, tinggalkan tabiat merokok, elak minuman beralkohol dan amalkan diet sihat. Lakukan pemeriksaan payudara kendiri secara berkala. Anda juga boleh lakukan ujian mamogram sebagai langkah berjaga-jaga. 1 daripada 8 wanita akan didiagnos dengan kanser payudara sekali seumur hidup. Walaupun ada faktor risiko yang tidak boleh diubah seperti umur dan genetik, namun, kajian mendapati bahawa perubahan gaya hidup masih lagi berkesan sebagai benteng untuk melawan kanser. 1. Lakukan lebih banyak aktiviti fizikal
Senaman merupakan langkah pencegahan yang paling berkesan untuk kebanyakan penyakit. Individu yang sihat perlu melakukan senaman sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu. Senaman dapat membantu anda untuk mengekalkan berat badan yang ideal. Individu yang mempunyai berat badan yang normal kurang berisiko untuk menghidap kanser. Lebih baik jika anda dapat tambah senaman untuk tingkatkan kekuatan badan sekurang-kurangnya dua kali seminggu. 2. Tinggalkan minuman beralkoholMinuman beralkohol boleh meningkatkan risiko anda untuk menghidap kanser payudara. Wanita yang minum 3 minuman beralkohol seminggu mempunyai 15% risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser ini. Jika anda tergolong dalam kumpulan yang berisiko, anda dinasihatkan untuk berhenti minum secepat mungkin. Individu yang tidak pernah ambil minuman beralkohol juga disarankan untuk tidak mengamalkan tabiat yang tidak sihat ini. Jika anda tidak bermula, anda tidak perlu berhenti. 3. Berhenti merokokAmalan merokok merupakan salah satu tabiat yang menjadi punca kepada pelbagai jenis kanser. Racun yang terkandung di dalam sebatang rokok boleh melemahkan sistem imun manusia. Ini akan menyebabkan sel kanser merebak secara agresif dan sukar untuk dipulihkan. Wanita yang sudah mengalami menopaus lebih berisiko untuk menghidap kanser payudara jika mereka masih amalkan tabiat merokok. Langkah yang terbaik yang boleh anda ambil untuk kesihatan diri ialah dengan berhenti merokok. Tidak kira pada umur berapa sekalipun anda berhenti merokok, risiko kanser payudara dan kanser lain dapat dikurangkan. 4. Amalkan makanan rendah lemakWanita yang mempunyai berat badan berlebihan lebih cenderung untuk menghidap kanser payudara. Lebih-lebih lagi jika wanita tersebut obes selepas menopaus. Menurut sebuah kajian yang dijalankan oleh American Society of Clinical Oncology (ASCO), wanita yang mengamalkan diet rendah lemak selepas menopaus mempunyai 21% risiko yang lebih rendah untuk menghidap kanser payudara. Mengamalkan makanan rendah lemak bukan sahaja boleh kurangkan risiko kanser, malah risiko untuk menghidap penyakit jantung dan strok juga akan berkurang. Jika anda ingin mengamalkan diet rendah lemak, cuba lakukan diet Mediterranean. Diet ini memfokuskan pemakanan ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan kekacang. Lemak yang digunakan juga terdiri daripada lemak yang sihat seperti minyak zaitun. 5. Hamil ketika umur masih mudaMenurut kajian, wanita yang tidak mempunyai anak ataupun mengandung ketika umur telah melebihi 30 tahun mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser payudara. Menurut kajian, payudara wanita belum benar-benar matang sehinggalah wanita tersebut mengalami kehamilan yang pertama. Selepas kehamilan, sel payudara wanita akan jadi lebih matang dan tidak akan memberikan sebarang reaksi terhadap produk yang mengandungi estrogen. Wanita yang terdedah dengan hormon estrogen pada jangka masa yang lebih lama didapati lebih berisiko untuk menghidap kanser payudara. Selain itu, wanita yang pernah mengandung dan melahirkan anak juga mengalami kitaran haid yang kurang berbanding wanita yang tidak pernah mengandung. 6. Menyusukan anakIbu yang menyusukan anak kurang berisiko untuk menghidap kanser payudara. Lebih lama ibu tersebut menyusukan anak, maka risiko menghidap kanser juga dapat dikurangkan. Tambah lagi, aktiviti menyusu juga dapat mengeratkan hubungan antara ibu dan anak, dan mempunyai manfaat kesihatan yang baik untuk si kecil. Strategi penjagaan kesihatan sebagai cara mencegah kanser payudaraBeberapa jenis strategi penjagaan kesihatan juga dapat membantu untuk mengurangkan risiko menghidap kanser payudara. 1. Ketahui sejarah kanser dalam keluargaWanita yang mempunyai ahli keluarga terdekat yang menghidap kanser mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghadapi situasi penyakit yang sama. Tambah lagi, risiko anda akan jadi dua kali ganda jika mempunyai ibu, adik beradik perempuan ataupun anak perempuan yang menghidap kanser payudara. Jika kebanyakan ahli keluarga anda mempunyai kanser yang sama, ia mungkin disebabkan oleh gen yang abnormal iaitu BRCA1 atau BRCA2 yang menyebabkan anda lebih berisiko untuk menghidap kanser payudara. Tetapi, walaupun kakak ataupun ibu anda menghidap kanser payudara, itu tidak bermakna anda juga akan menghidap penyakit yang sama. Sebagai langkah untuk merendahkan risiko kanser ini, anda boleh lakukan ujian saringan yang lebih kerap. Lakukan pemeriksaan kendiri sebulan sekali, pemeriksaan payudara oleh doktor sekurang-kurangnya setahun sekali dan mamogam setiap tahun setelah usia anda melebihi 40 tahun. Ada wanita yang memilih untuk melakukan pembedahan pelindung (protective/prophylactic surgery). Pembedahan ini sangat invasive dan tidak dapat dipulihkan semula. Namun, pembedahan ini dapat mengurangkan risiko kanser sehingga 97%. Wanita yang memilih untuk melakukan pembedahan ini akan membuang kedua-dua belah payudara. Namun, situasi setiap wanita adalah berbeza-beza. Sebelum melakukan sebarang keputusan yang drastik, pastikan anda fikir dahulu baik dan buruk prosedur tersebut dan kesannya terhadap kehidupan seharian anda. 2. Elakkan mengambil terapi penggantian hormon (hormone replacement therapy)Terapi penggantian hormon ataupun hormone replacement therapy (HRT) merupakan sejenis terapi yang dilakukan untuk mengurangkan simptom yang berlaku akibat menopaus. Walau bagaimanapun, pengambilan HRT dikesan dapat meningkatkan risiko wanita untuk menghidap kanser payudara dan juga kanser ovari. Wanita yang mengambil terapi ini juga lebih berisiko untuk menghidap penyakit kardiovaskular seperti darah beku. Kajian mendapati wanita yang mengambil terapi penggantian hormon lebih daripada setahun mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser payudara. Semakin lama terapi, semakin tinggi risiko yang akan dihadapi. Walaupun wanita tersebut berhenti mengambil HRT, risiko kanser tetap sama dan tidak akan berkurang. Jika wanita tersebut mengambil hormon estrogen dan progesteron, risiko menghidap kanser lebih tinggi berbanding wanita yang mengambil hormon estrogen sahaja ataupun progesterone sahaja. 3. Lakukan pemeriksaan payudara sebulan sekaliWalaupun pemeriksaan payudara tidak dapat menurunkan risiko anda menghidap kanser payudara, aktiviti ini dapat membantu anda untuk mengesan sebarang ketulan yang tidak normal pada payudara. Pengesanan awal kanser sangat penting kerana rawatan amat berkesan jika ia dilakukan ketika kanser masih belum merebak. Waktu yang terbaik untuk melakukan pemeriksaan ialah pada hari ke-3 hingga ke-5 selepas datang haid. Pemeriksaan kendiri lebih baik jika dilakukan pada hari yang sama setiap bulan. Wanita yang sering melakukan pemeriksaan payudara lebih tahu akan keadaan payudara sendiri. Oleh itu, mereka lebih peka terhadap sebarang perubahan yang berlaku. 4. Lakukan ujian mamogramSama seperti pemeriksaan kendiri, ujian mammogram tidak dapat mengelakkan anda daripada menghidap kanser payudara. Namun, ujian mammogram dapat mengesan ketulan ketika ia masih lagi tidak dapat dirasai pada permukaan kulit. Wanita yang berumur 40 tahun keatas disarankan untuk melakukan mammogram sekali dalam masa 2 tahun. KesimpulanLangkah pencegahan yang digariskan di atas bukanlah 100% berkesan untuk mengelakkan kanser. Namun, cara mencegah kanser payudara tersebut membolehkan anda mengurangkan risiko untuk menghidap penyakit ini. Selain itu, langkah pencegahan seperti melakukan pemeriksaan kendiri dan mendapatkan ujian mamogram boleh membantu anda melakukan pengesanan awal. Ia amat penting dalam membantu keberkesanan ubat ataupun rawatan kanser payudara. Anda juga boleh berhubung dengan doktor untuk maklumat yang lebih lanjut. Doktor boleh mencadangkan berapa kerap anda perlu lakukan ujian saringan berdasarkan sejarah kesihatan anda. Jangan berdiam diri jika anda rasa ada perubahan fizikal pada payudara. Ketepikan rasa malu dan cepat berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Sumber - hellodoktor.com |
ADVERTISEMENT