Polis mengesahkan penularan satu klip video kononnya dikaitkan dengan kes penculikan bayi di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Jalan Hang Tuah di sini, sejak hari ini adalah berpunca daripada masalah keluarga.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Superintendan Yusharifuddin Mohd Yusop yang mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu, berkata kes terbabit bukan diklasifikasikan sebagai penculikan, sebaliknya perebutan anak antara ibu kandung dengan ibu angkat. "Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya. Menerusi video berdurasi 42 saat yang tular itu, kejadian dipercayai berlaku pada 3 petang apabila bayi perempuan berusia lima bulan itu dilarikan ibunya sendiri berusia 17 tahun dan bukannya diculik.
Difahamkan, ketika kejadian, ibu angkat bayi berkenaan datang ke UTC untuk menguruskan kad pengenalan Mykid bayi berkenaan. Bagaimanapun, seorang lelaki secara tiba-tiba datang dan merampas bayi berkenaan daripada ibu angkatnya yang sedang hamil sebelum menuju ke tempat letak motosikal. Ibu kandung bayi berkenaan yang sedang menunggu di motosikal kemudian membonceng motosikal ditunggang lelaki berkenaan bersama anaknya itu. Kejadian itu dipercayai berlaku disebabkan salah faham antara keluarga angkat dan ibu kandung bayi berkenaan dan kedua-dua mereka dikatakan saling mengenali. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT