PENGHAYATAN Al-Quran penting dalam kehidupan kita. Aspek terpenting adalah membaca dan benar-benar memahami apa yang terkandung di dalam Al-Quran yang ingin disampaikan oleh Allah SWT kepada setiap insan. Tips penghayatan Al-Quran menerusi kaedah “TADABBUR” dikongsikan oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman menerusi siaran Ibrah Isnin lalu, pada hari Isnin 5.15 petang di IKIMfm. Ustaz Syaari berkongsi tip tadabbur menerusi Kisah Malaikat Harut & Marut yang telah diperincikan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Lapan senarai semak “TADABBUR” perlu dalam proses pembacaan agar kita dapat benar-benar faham dan hayati isi kandungan Al-Quran yang kita baca. Akhirnya, dengan tadabbur kita dapat menghidupkan Al-Quran di dalam hati dan di dalam kehidupan kita. “T” merujuk kepada tartil iaitu membaca Al-Quran secara tartil. Tartil adalah membaca Al-Quran dengan jelas sebutan hurufnya serta menjaga tajwid setiap kali membacanya. “A” merujuk kepada ambil tahu terjemahan daripada ayat yang dibaca. “D” merujuk kepada dapatkan maksud sebenar apa yang disampaikan oleh Allah SWT disebalik ayat tersebut. Apakah kronologi ayat serta kisah sebelum dan selepas ayat yang kita baca. “A” merujuk kepada ambil tahu mengenai asbab nuzul atau kisah bagaimana ayat Al-Quran tersebut diturunkan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW. “B” merujuk kepada membelek tafsir agar dapat memahami apa yang benar dan sahih serta dapat membezakan antara israiliyyat yang tidak sahih. “B” merujuk kepada membaca sekali lagi ayat Al-Quran tersebut dan bacaan kali kedua ini dengan memahami ayat tersebut. “U” adalah usahakan untuk kita menghafal ayat tersebut. “R” adalah ‘recall’ semula ayat yang kita baca sekiranya Allah SWT takdirkan berlakunya sebarang musibah dalam hidup kita, kita dapat membaca ayat tersebut. Setelah selesai menghayati dan memahami Al-Quran menerusi kaedah “TADABBUR”, Ustaz Syaari berkongsi bagaimana kita boleh memahami serta menghayati kisah Malaikat Harut & Marut yang Allah SWT sampaikan menerusi ayat Al-Quran surah Al-Baqarah, ayat 102 yang bermaksud, “Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman AS, padahal Nabi Sulaiman AS tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat : Harit dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungghnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua : ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (iaitu membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah SWT. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat.Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui”. Ayat ini mengisahkan bagaimana orang Yahudi di kalangan ahli kitab yang menafikan rasul-rasul dan mengikut apa yang diajarkan oleh syaitan ketika pemerintahan Nabi Sulaiman AS dengan mengamalkan sihir yang ternyata ajaran syaitan. Mereka menyeru kepada manusia untuk mengikuti ajaran mereka dengan menggunakan sihir dan menyatakan ianya daripada ajaran Nabi Sulaiman AS. Perihal ayat ini menceritakan suatu lokasi, Babil atau dikenali sebagai Babylon yang hebat dengan empayar kekuasaannya dan terbukti yang menjadikan mereka hebat adalah dengan bantuan syaitan apabila mereka menggunakan sihir dalam kehidupan meraka Ayat ini juga menjelaskan serta memberi pengajaran kepada kita jangan sesekali fitnah dan mendakwa malaikat dengan dakwaan yang tidak benar kerana malaikat adalah perantaraan daripada Allah SWT untuk memberikan pengajaran tertentu kepada sesuatu kaum. Kaum Babil telah memfitnah Malaikat Harut dan Marut dengan menyatakan mereka hadir ke muka bumi dengan melakukan kerosakan dengan hawa nafsu mereka dan melakukan perkara yang tidak baik terhadap wanita serta akhirnya dihukum sehingga ke hari kiamat. Sedangkan kedatangan malaikat ini hadir pada ketika itu untuk menyatakan kepada kaum Babil perbezaan antara mukjizat para nabi dan sihir yang mereka lakukan. Malaikat ini telah membuktikan kepada kaum Babil bahawa apa yang mereka amalkan selama ini yang meraka dakwa ianya daripada Nabi Sulaiman AS adalah sihir daripada syaitan dan bukannya ajaran Nabi Sulaiman AS. Malaikat Harut dan Marut juga hadir menjelaskan kepada masyarakat Babil bahawa ajaran agama Islam tidak memerlukan sihir untuk mengajak orang ramai memeluk Islam seperti yang mereka amalkan dalam menyeru masyarakat kepada agama. Malaikat ini telah menunjukkan sihir kepada mereka secara terperinci dan ingin menyatakan bahawa apa yang mereka amalkan selama ini ternyata dusta sama sekali. Namun malang bagi penduduk Babil, mereka tidak dapat melihat sihir yang ditunjukkan oleh Malaikat Harut dan Marut itu sebagai batil, bahkan mereka telah menggunakan sihir itu untuk memisahkan antara suami dan isteri dan meruntuhkan rumah tangga. Di dalam Al-Quran, Allah SWT menerangkan mudarat sihir tidak akan boleh terjadi hanya dengan kuasa Allah SWT. Allah SWT mentakdirkan seseorang terkena mudarat asbab kerana sihir namun hakikatnya Allah SWT yang menimpakan mudarat itu kepada mereka. Ayat ini yang diturunkan di Madinah juga menceritakan kepada Rasulullah SAW bagaimana asas-asas membentuk rumahtangga membawa kepada masyarakat dan akhirnya membentuk sebuah negara Madinah yang hebat. Asas rumahtangga yang hebat terbentuk tanpa ada hasad dengki dan saling buruk sangka di dalam hubungan suami isteri serta keluarga dan bukanlah seperti yang ditunjukkan oleh masyarakat Babil dalam meruntuhkan rumah tangga. Di dalam kehidupan, sesiapa yang belajar untuk tujuan jahat, dia tidak akan selamat di akhirat. Sumber ; ikimfm.my |
system_failure replied at 12-11-2020 11:07 AM
Errr... tumpang tanya...
Malaikat Harut dan Marut directly menegur penduduk babylon?
CARI-HBZ replied at 12-11-2020 01:30 PM
ya dengan menjelma sebagai manusia. nabi ketika itu adalah nabi Sulaiman A.S tapi turut difitn ...
fms016 replied at 12-11-2020 03:19 PM
kat mane laa agaknya Malaikat Harut dan Marut berada..
dulu aku blaja sihir ni Allah beri izin kpd ...
system_failure replied at 12-11-2020 11:04 PM
Biar betul ko nih... Malaikat kena hukum?
Sapa citer ni weihh
ADVERTISEMENT