Bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong akan membuat kemunculan pertamanya sejak Mei tahun lepas, dengan menyertai edisi sulung Kejohanan Terjun Antarabangsa Dalam Talian Malaysia pada 5 hingga 6 Dis ini.
Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS) Mae Chen berkata, penerjun berusia 30 tahun itu diberikan lampu hijau oleh jurulatihnya Yang Zhuliang untuk menyertai kejohanan lima negara berkenaan setelah menjalani latihan intensif beberapa bulan lepas. Chen berkata, selain Jun Hoong, dua penerjun Olimpik Tokyo 2020 Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee juga akan menyertai kejohanan selama dua hari berlangsung secara maya itu yang turut disertai 47 penerjun dari Australia, New Zealand, Singapura, Jepun dan Malaysia. “Idea dan konsep penganjuran kejohanan ini adalah inisiatif daripada ketua jurulatih kebangsaan Christian Brooker dan pembantunya Li Rui berikutan penerjun negara memerlukan beberapa kejohanan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Terjun Dunia di Tokyo awal tahun depan yang juga kejohanan kelayakan terakhir ke Sukan Olimpik,” katanya pada sidang media prakejohanan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil hari ini.
Sehubungan itu, Chen berkata, MAS sedang berunding dengan beberapa pihak seperti Perbadanan Stadium Malaysia dan penyedia perkhidmatan Internet agar dapat mengurangkan kos penganjuran kejohanan yang berjumlah RM24,000 kerana melibatkan penggunaan beberapa peralatan elektronik. Sementara itu, Brooker berkata, beberapa acara Olimpik akan dipertandingkan pada kejohanan dalam talian berkenaan termasuk acara terjun papan anjal dan seirama bagi kategori lelaki dan wanita. Jurulatih dari Australia itu berkata, kejohanan dalam talian itu akan diadili pengadil yang diiktiraf Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA). “Tanpa kejohanan, saya bimbang atlet akan hilang fokus dan motivasi memandangkan kami sedang melakukan persiapan untuk Sukan Olimpik tahun depan. “Jadi, langkah terbaik untuk pastikan mereka kekal fokus adalah dengan menganjurkan kejohanan melalui platform dalam talian untuk mengukur prestasi penerjun negara dengan penerjun negara lain,” katanya. Skuad terjun negara tidak menyertai sebarang kejohanan sejak awal tahun ini susulan penularan COVID-19. Sumber: BERNAMA
|
RatuDunia94 replied at 28-11-2020 02:19 PM
Bayangkan kalau acara lumba lari online.. haha
Mcm pelik. Tp x mustahil
ADVERTISEMENT