Penyanyi dan pelakon, Amira Othman ditahan di hospital sejak Sabtu lalu selepas berdepan komplikasi akibat melakukan aktiviti kecergasan secara berlebihan.
Amira ketika dihubungi berkata, isu kesihatannya mula timbul selepas dia mengikuti senaman berbasikal 'indoor' minggu lalu.
"Rabu lalu, saya ikuti latihan kecergasan berbasikal secara 'indoor'. Selalunya, kalau saya bersenam atau melakukan aktiviti kecergasan, adalah normal sekiranya badan akan sakit-sakit selepas itu. "Namun, kali ini sakitnya berbeza dan tak menunjukkan tanda-tanda akan berkurangan. Masuk hari ketiga, peha saya membengkak," katanya kepada Harian Metro. Dia kemudiannya menjalani terapi, namun sakitnya masih tidak berkurangan. "Apabila terapi pun tak menjadi, rasa sakit itu pun tak hilang. Nak dijadikan cerita, sewaktu saya membuang air kecil, airnya menjadi warna hitam. "Apabila saya bercerita dengan ibu bapa, mereka menasihatkan saya supaya membuat pemeriksaan di hospital memandangkan itu menunjukkan tanda-tanda sakit yang berkaitan dengan buah pinggang dan hati. "Apabila saya rujuk ke hospital, doktor maklumkan komplikasi yang berlaku adalah disebabkan aktiviti kecergasan yang berlebihan. Mujurlah buang pinggang saya masih dalam keadaan baik," katanya.
Amira yang masih dirawat di sebuah pusat perubatan di sini berkata, perkara itu menjadi pengajaran buatnya. "Selama ini, saya tak sangka senaman berlebihan boleh membawa kepada kemudaratan. Doktor maklumkan, bersenam tak menjadi masalah, tapi kita perlu tahu had memandangkan ia bergantung kepada tubuh seseorang.
"Saya jadikan ini sebagai pengajaran buat diri saya dan keluarga. Sakitnya tak dapat saya gambarkan dengan kata-kata," katanya. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|