Pelbagai tanggapan dibuat apabila tular gambar motosikal terbaring di tepi jalan. Malahan senario itu membuatkan netizen meninggalkan komen berbaur kecewa terhadap pihak polis, semuanya gara-gara kejadian ketika Op Samseng Jalanan yang dijalankan polis trafik baru-baru ini.
Bagi mendapatkan kepastian, mStar menghubungi salah seorang remaja berusia 18 tahun yang terbabit dalam kejadian itu. Seorang remaja berusia 18 tahun yang terbabit dalam kejadian itu, Ahmad Razali mendakwa motosikal yang dilihat terbaring di tepi jalan itu ditendang polis pada hari kejadian. "Kalau boleh lihat dalam gambar itu, motosikal yang terbaring di tepi jalan itu adalah disebabkan ditendang pihak polis, manakala kami diarahkan untuk duduk dan tidak boleh mengeluarkan telefon. "Saya tak sangka pihak polis boleh buat macam tu," dakwanya lagi.
"Saya ditahan kerana tidak mempunyai lesen. Sebenarnya dah banyak kali saya kena tahan, tapi kali ini lain macam sikit caranya," ujarnya sambil menambah mereka yang ditahan diarah menolak motosikal mereka ke balai polis berhampiran sejam selepas ditahan kira-kira pukul 5 petang pada 6 Disember lalu. Menurut laporan di akaun Facebook Polis Daerah Nilai, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di Negeri Sembilan telah menjalankan Op Samseng Jalanan di Tasik Senangin, Lenggeng di negeri berkenaan, Ahad lalu. Hasil operasi tersebut, polis mengeluarkan saman kepada mereka yang melanggar undang-undang, selain menahan beberapa motosikal dan individu di atas pelbagai kesalahan yang dilakukan. Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Nilai, Asisten Superitendan Mohd Hafidzal Zainal Abidin menafikan kejadian. "Tidak berlaku sebarang kejadian tendang-menendang motosikal pun pada hari operasi tersebut. "Itu hanya provokasi sahaja, dan sudah menjadi kebiasaan menerima komen-komen negatif seperti itu," jelasnya. Tambahnya lagi, motosikal yang dilihat terbaring di bahu jalanan itu adalah disebabkan mereka ingin melarikan diri dan melanggar sesama mereka kerana semua jalan tikus ditutup pihak polis. "Mereka yang langgar sesama mereka, bila dah jatuh, kami biarkan sahaja motosikal itu. "Buat apa kami nak susahkan diri nak tendang motosikal itu semua," katanya. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT