Sebagai pendatang baharu dalam dunia lakonan, Hariz Hamdan yang juga finalis Hero Remaja 2020 ini sentiasa ingin membawa dirinya dengan baik ketika berada di sesebuah set penggambaran.
Menurut Hariz atau nama sebenarnya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 18, dia sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan fokus sebelum memulakan penggambaran. Akui Hariz, dia tidak gemar menggunakan telefon bimbit dan bermain aplikasi TikTok ketika sedang bekerja kerana bimbang ia boleh menganggu tumpuan terhadap lakonannya. "Saya memang kurang bermain Tiktok. Bagi saya, setiap pelakon baharu ada pesonaliti tersendiri dan mungkin hanya ada segelintir mereka yang gemar bermain handphone di lokasi penggambaran.
"Saya sendiri tak suka sangat main handphone ketika berada di set sebab takut nanti boleh kacau fokus. Saya lebih suka berbual dengan pelakon lain untuk tanya tip atau minta kongsi pengalaman mereka. "Sebagai pelakon baharu, sudah tentu saya perlu banyak belajar daripada pelakon senior. Sedangkan artis lama pun masih tambah ilmu... apatah lagi saya yang masih baharu," kata Hariz kepada mStar.
Sebelum ini, pelakon Nabila Huda menerusi laman Instagram memberi pesanan kepada pelakon baharu untuk persiapkan diri terlebih dahulu sebelum datang ke lokasi penggambaran. Malah, pelakon pemenang Pelakon Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin ke-23 itu turut menasihati pendatang baharu supaya tidak hanya bermain telefon bimbit atau melakukan video TikTok sahaja.
Nabila atau lebih mesra disapa Abil turut berkongsi cara dia melakukan persediaan dari segi skrip, pakaian dan dirinya sebelum memulakan sebarang penggambaran. Dalam pada itu, pelakon telefilem Fateema Azzahra ini mengakui dia mempunyai perasaan takut apabila diberi peluang untuk berlakon dengan barisan pelakon yang hebat. Hariz bagaimanapun memberitahu, perasaan tersebut menjadi pembakar semangatnya untuk melakukan yang terbaik dalam setiap peluang yang diberikan.
"Sudah tentu perasaan takut itu ada... sebab mereka lebih berbakat daripada kita. Tapi bersedia atau tidak, terpulang kepada diri saya sendiri. Tapi kalau saya berlakon, memang saya akan buat sehabis baik. "Saya akan berikan komitmen seratus peratus sebab memang dari kecil lagi saya sudah bercita-cita untuk ceburi bidang lakonan terutama filem. Saya memang nak sangat berlakon filem.
"Alhamdulillah... Insya-Allah, bermula Januari depan saya akan masuk set penggambaran filem Banglo Seksyen 12 bawah penerbitan Intan Ladyana," ujarnya. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|