BEIJING: Kapsul kapal angkasa China, Chang'e-5 selamat mendarat di bumi awal pagi tadi, membawa sampel tanah dan batu dari bulan, yang juga sampel bulan terbaru di dunia dalam tempoh lebih 40 tahun. Kapsul pesawat angkasa lepas itu mendarat di Siziwang Banner di Wilayah Autonomi Inner Mongolia pada jam 1.59 pagi (waktu Beijing), menurut Pentadbiran Angkasa Lepas Nasional China (CNSA). Ketua CNSA, Zhang Kejian, mengisytiharkan misi Chang'e-5 adalah sebagai berjaya, yang memuktamadkan kejayaan program eksplorasi bulan membabitkan tiga fasa itu mengorbit, mendarat dan membawa pulang sampel, yang bermula pada 2004. Kapsul itu berpisah daripada pengorbit kira-kira 5,000 kilometer (km) di atas lautan Atlantik. Ia memasuki atmosfera bumi pada altitud 120 km dengan kelajuan sekitar 11.2 km sesaat pada jam 1.33 pagi, menurut laporan agensi berita Xinhua. Sekitar 10 km dari bumi, payung terjun dilepaskan. Kapsul itu selamat mendarat di kawasan yang ditetapkan, dan pasukan pencarian berjaya mendapatkan kapsul berkenaan. Kapsul itu kemudian akan diterbangkan ke Beijing dan sampel bulan itu akan dihantar kepada pasukan penyelidik untuk dianalisis, kata CNSA. China akan membenarkan sebahagian sampel itu diberikan kepada saintis luar negara, kata Timbalan Pengarah Pusat Program Angkasa Lepas dan Eksplorasi Lunar CNSA, Pei Zhaoyu. Chang'e-5 adalah antara misi paling rumit dan mencabar dalam sejarah eksplorasi angkasa lepas China. Kapsul itu dilancarkan pada 24 November lalu dan mendarat di utara Mons Rumker di Oceanus Procellarum, yang turut dikenali sebagai Lautan Ribut pada 1 Disember. Lokasi itu dipilih kerana memiliki usia geologi yang masih muda berbanding kawasan sampel Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet lebih 40 tahun lalu, selain tidak pernah disampel. Penyelidik percaya sampel baharu itu amat bernilai secara saintifik. Kejayaan itu membolehkan China muncul negara ketiga memperoleh sampel dari bulan, selepas Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet pada 1960-an serta 1970-an. Misi itu adalah percubaan pertama untuk membawa pulang sampel dari bulan selepas Kesatuan Soviet melakukannya pada 1976. - AGENSI |
ADVERTISEMENT