Penyanyi, Altimet, 42, tidak terkejut menyedari keputusan lagu yang layak bersaing pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35 menjadi perbualan hangat dalam media sosial, sejak beberapa minggu lalu.
Baginya, kontroversi keputusan program pencarian lagu terbaik itu termasuk finalis yang didakwa netizen luar jangkaan, timbul setiap tahun. Dengan nada bergurau, Altimet berkata, tiada jalan penyelesaian untuk isu berkenaan, melainkan semua lagu bertanding dalam AJL. "Di Malaysia, boleh dikatakan ada 1,000 lagu dicipta dalam tempoh setahun, jadi semua lagu masuk AJL. "Buatlah AJL selama seminggu. Kemudian, apabila diumumkan pemenang, masih ada yang tidak berpuas hati kerana ia adalah atas budi bicara juri.
"Ini lumrah pertandingan, apatah lagi ia membabitkan juri profesional. Kita kena terima. Dalam pertandingan, ada menang dan kalah. "Jika takut atau risau kalah, jangan masuk gelanggang, pertandingan atau perlawanan," katanya kepada BH Online. Altimet berkata, netizen tidak patut mempersoalkan kenapa penyanyi tertentu mempertaruhkan banyak lagu di pentas akhir. "Ini kerana penyanyi terbabit banyak mengeluarkan lagu, tidak seperti penyanyi lain yang menunda pengeluaran single berikutan COVID-19. Jadi, tidak perlulah mempersoalkannya," katanya.
Altimet turut menegaskan AJL adalah program pertandingan yang mencari karya terbaik. "Ini bukan pertandingan persembahan, ini pertandingan penulisan lagu. "Dari situ, datanglah salah faham kerana netizen ingat pertandingan populariti, ini bukan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH). "Sebab itulah, ada tiga pemenang, juara lagu, tempat kedua dan tempat ketiga. Kemudiannya, hadiah sampingan, Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik," katanya. Sebagai penyanyi yang pernah membawa pulang trofi Persembahan Terbaik pada AJL32 menerusi lagu Amboi, Altimet menambah, setiap individu ada pendapat sendiri, begitu juga dirinya.
"Tekaan dalam AJL kali ini, lima sahaja yang betul. Memang saya sudah jangka sebab tahun ini agak luar biasa disebabkan pandemik COVID-19. "Jika tanya pendapat saya, lagu Too Phat patut masuk AJL, mungkin ada orang tak setuju. Tetapi daripada segi penulisan lagu hip hop, lagu mereka tidak sertai AJL adalah suatu perkara yang tidak adil. "Sekurang-kurangnya, satu lagu Ahli Fiqir masuk AJL, tetapi tidak," katanya. Berkongsi mengenai perkembangan lain, Altimet atau nama sebenar, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad mengesahkan meletakkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Recording Performers Malaysia (RPM). "Peletakan jawatan saya sudah diterima ahli lembaga. Sebenarnya, saya mahu letak jawatan pada mesyuarat agung (AGM), tahun ini. "Ketika itu, saya tidak dapat datang ke mesyuarat itu kerana arwah ayah tiri saya dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN). "Jadi, apabila perkara ini berlaku, saya fikir lebih baik saya letak jawatan. "Saya ada perancangan yang akan mengambil banyak masa. Jadi, saya takut tidak boleh memberikan sumbangan produktif sebagai ahli RPM," katanya.
Ekoran kemelut isu royalti yang membelenggu badan kutipan royalti itu, Altimet berkata, pihak yang tidak berpuas hati boleh berjumpa dengan persatuan, bukannya berkongsi dengan media. "Kalau tidak suka jangan datang kepada media. "Semua kemusykilan dan rasa tidak puas hati saya sebagai ahli RPM, Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad (MACP) dan Public Performance Malaysia (PPM), tidak pernah disuarakan kepada media, sebaliknya kepada persatuan. "Seperti keputusan AJL, secara peribadinya, saya rasa ada lagu yang ditulis lagi sedap daripada lagu Amboi, Bunga, dan Kalau Aku Kaya, tetapi tak masuk AJL, tetapi saya tidak suarakan. "Saya menggunakan saluran yang betul iaitu dengan mencuba lagi. Tetapi dengan kes royalti ini, datang berjumpa dengan persatuan. Sekarang, orang yang bising datang AGM atau tidak? Mereka tak faham situasi sebenar. Jadi, kalau nak faham, pergi sendiri bertanya," katanya.
Sebelum ini, kontroversi tercetus apabila lagu Sembah dendangan Naim Daniel yang menampilkan gitaris legenda, Man Keedal serta Sakit nyanyian Yonnyboii dan Zynakal gagal mara ke AJL35. Dua belas lagu dipilih juri bakal bersaing di AJL35 yang akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Februari depan. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|