Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dibunuh jiran yang kononnya bagi menghalau syaitan daripada tubuh budak itu. Pejabat Sherif Daerah Benton di Missouri dalam satu kenyataan memaklumkan, kanak-kanak itu ditemui mati oleh bapanya kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan.
Portal Newsweek melaporkan, bapa kanak-kanak itu, James Mast mendakwa anak perempuannya dipukul dan dibenam di dalam kolam. Mangsa kemudian dibiarkan di tebing kolam sebelum dibawa semula masuk ke kediaman. Menurut KOLR News di Missouri, berdasarkan dokumen mahkamah, kejadian berlaku pada 20 Disember lalu. Ketika anggota paramedik tiba di lokasi, James menunjukkan anak perempuannya yang dibungkus dalam selimut merah jambu. Mangsa yang diletakkan di lantai mempunyai banyak kesan lebam di seluruh tubuhnya. Penyiasat berkata, kesan lebam kelihatan seperti tanda tali pinggang.
"Ibu budak itu, Mary S Mast dan seorang lagi anak lelakinya berusia dua tahun juga dipukul dengan teruk. "Mary dan anaknya dibawa dengan ambulans ke Hospital Bothwell Regional di Sedalia dan mereka masih menerima rawatan," kata kenyataan polis. Ketika ditanya bagaimana kecederaan itu berlaku, James memberitahu dua individu yang juga jiran punca kejadian terbabit. Menurut KOLR News, kemungkinan jiran pergi ke rumah James pada jam 8 pagi dan memukul anak lelakinya berusia dua tahun. "Mereka memberitahu ada syaitan dalam tubuh si ibu dan mereka perlu melakukan ritual itu untuk memastikan kanak-kanak terbabit tidak menjadi seperti ibu mereka," katanya. Jiran itu dipercayai mengancam supaya membiarkan mereka melakukan ritual berkenaan. Susulan kejadian, kedua-dua jiran terbabit bakal berdepan tuduhan membunuh. Ibu dan bapa mangsa juga ditahan kerana didakwa melakukan pengabaian. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT