Tiada perkara yang mudah di dunia ini. Setiap kejayaan perlu diharungi dengan liku-liku cabaran yang pada akhirnya akan mematangkan perjalanan dalam kehidupan seseorang.
Cabaran sama dilalui penyanyi rap wanita baharu bernama Sya yang kini muncul dengan single debut, PrettyGirlBop. Hanya disebabkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa utamanya, dia pernah menjadi mangsa buli sewaktu di bangku persekolahan. Cerita Sya atau nama sebenarnya, Nur Batrisya Mohd Nazri, 25, sebelum kembali menetap di Malaysia, dia pernah tinggal di beberapa negara seperti Bahrain dan Pakistan disebabkan pekerjaan ibu bapanya. “Saya tidak mahu bercerita terlalu terperinci tentang hal itu (buli) tetapi apa yang boleh saya cakap, menjadi satu kebiasaan apabila kalau orang tengok kita lain sedikit mungkin dari segi percakapan dan sebagainya, mereka rasa terganggu atau tercabar.
“Waktu itu, saya baru balik ke Malaysia. Untuk menyesuaikan diri dengan budaya dan adat resam pasti mengambil masa. Lama-kelamaan, semuanya jadi okey kerana orang yang anggap kita pelik jadi kawan kita,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Melanjutkan bicara, Sya mengakui tidak fasih berbahasa Melayu. Bagaimanapun, itu bukan alasan untuk hilang kekuatan menguasai bahasa tersebut.
“Saya pernah dapat markah 9/100 untuk subjek Bahasa Melayu. Dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) saya dapat B+. Saya kerja keras untuk memperbaiki diri,” katanya yang mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Lutong, Sarawak. Bercerita tentang single perdananya yang mendapat sentuhan penerbit terkenal SonaOne, Sya bangga kerana dapat bekerjasama dengan nama hebat dunia muzik hip-hop tanah air. Seperti bulan jatuh ke riba, lagu yang menampilkan gandingan bersama bintang rap popular Singapura, Yung Raja, melengkapkan ramuan single pertama anak kelahiran Ampang itu. Gementar pada masa amat teruja dengan gandingan bersama dua nama besar hip-hop Asia Tenggara, Sya bagaimanapun tanpa berselindung mengakui pernah hasrat bekerjasama dengan kedua-dua figura hebat itu.
“Proses pembikinan lagu PrettyGirlBop berlaku cukup pantas. SonaOne mencipta irama dan melodi dalam masa hanya lima belas minit. Sebaik saja saya terima irama tersebut, saya terus karangkan lirik yang terilham spontan,” katanya ringkas. Tambahnya lagi, sedang dia dan pasukan mencari ilham dan menstrukturkan rangkap dalam lagu, kebetulan Yung Raja membuat panggilan video kepada SonaOne yang secara tidak langsung memberi tambahan idea terhadap single berkenaan. “Apabila Yung Raja menyatakan persetujuan untuk turut menyumbangkan rangkap rap dalam lagu PrettyGirlBop, saya sangat berbesar hati,” tambahnya lagi dengan nada gembira. Menurut Sya, PrettyGirlBop didedikasikan bagi memperkasakan semangat kaum hawa ketika pandemik dan insan penting yang menyalurkan inspirasi lagu berkenaan adalah ibunya sendiri.
Kata Sya, minatnya terhadap dunia seni dipupuk sejak di bangku sekolah apabila sering menawarkan diri membuat persembahan ketika majlis di sekolah. “Seluruh negara berada dalam keadaan sukar, lebih-lebih lagi golongan wanita yang berdikari dan berusaha sekuatnya demi kelangsungan hidup. Ketika lagu ini ditulis, saya meletakkan keseluruhan emosi dan jiwa saya. “Saya cuba mengubah pemahaman stereotaip ‘pretty girl’ yang bermaksud gadis ayu, Menerusi PrettyGirlBop saya memberi sindiran secara sarkastik dan sinikal menerusi bait-bait lirik sambil memberitahu ‘saya garang, dan saya gigit balik tau’, jadi awas ya!” tegasnya. Awalnya, Sya hanya menjadikan muzik sebagai ruang terapi diri. Namun apabila melihat pengaruh muzik dapat memberi impak luar biasa, dia mengatur langkah untuk dikenali sebagai watak penting membangunkan semangat wanita pada tempoh sukar kini.
“Saya mengambil tanggungjawab untuk memberi inspirasi golongan wanita, tidak kiralah apa bidang sekali pun yang mereka ceburi untuk terus bangkit dan cekal mengharungi segala rintangan. “Dek motivasi itu, sebagai penyanyi rap wanita, saya akan terus berusaha dan kekal relevan setanding dengan penyanyi rap yang didominasi golongan lelaki pada hari ini, mudah-mudahan,” ujarnya bersemangat. Lagu PrettyGirlBop kini berada di pasaran digital menerusi Apple Music, Spotify, Deezer, Joox, KKBOX, iTunes dan muzik video lagu tersebut sudah mencecah 100,000 tontonan dalam YouTube. -CARI Sumber: Kosmo
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|