KUALA LUMPUR: Hartalega Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih tertinggi RM1.01 bilion bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2020, peningkatan ketara sebanyak 728 peratus berbanding RM122 juta pada suku tahun sebelumnya. Keuntungan sebelum cukainya bagi suku dikaji berjumlah RM1.35 bilion, manakala hasil melonjak kepada RM2.13 bilion. Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2020, kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.78 bilion, peningkatan ketara berbanding RM320 juta pada suku tahun sebelumnya. Keuntungan sebelum cukai mencecah RM2.30 bilion, manakala hasil berjumlah RM4.40 bilion. Prestasi kumpulan dipacu oleh hasil jualan lebih tinggi yang diraih daripada jumlah jualan dan harga jualan purata lebih tinggi.
Pencapaian turut disokong oleh penurunan kos tenaga elektrik dan penyelenggaraan hasil daripada usaha berterusan dalam meningkatkan kecekapan pengeluaran. Pendapatan sesaham (EPS) bagi suku ketiga meningkat kepada 29.31 sen manakala bagi tempoh kumulatif EPS melonjak kepada 51.68 sen. Nilai aset bersih sesaham berada pada RM1.22 setakat pada 31 Disember 2020. Berasaskan prestasi cemerlang kumpulan, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 9.65 sen sesaham seperingkat bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021, menurut tarikh kelayakan pada 10 Februari 2021 dan pembayaran pada 26 Februari 2021. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong, berkata jelas dilihat bahawa permintaan bagi bekalan perubatan seperti sarung tangan tidak menunjukkan sebarang penurunan memandangkan masih menghadapi impak pandemik COVID-19. "Malangnya, bilangan kes terus meningkat di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Amerika Latin serta negara-negara lain. "Dalam pada itu, permintaan dijangkakan meningkat ekoran penggunaan sarung tangan lebih tinggi terutama di dalam pasaran yang berkembang disebabkan oleh tahap kesedaran yang lebih tinggi terhadap kebersihan. Berlatarkan situasi ini, kami menjangkakan permintaan akan terus melebihi bekalan dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan. Sumber : Berita Harian |
ADVERTISEMENT