Aktiviti menarah bukit serta penebangan pokok dipercayai menjadi punca pencemaran Sungai Semungkis, Batu 14, Hulu Langat, yang turut menempatkan beberapa resort dan menjadi lokasi pelancongan popular.
Mendedahkan perkara itu, Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam Malaysia (Pembela), Datuk Masrizi Sat berkata, Hutan Simpan yang terletak di Kampung Sungai Semungkis itu menjadi sumber tadahan air bersih dan kawasan rekreasi bagi penduduk. Menurutnya, hutan itu pernah diteroka dan dipohon untuk pemilikan oleh sekumpulan penduduk dan individu sejak 1990-an, namun ditolak Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat bahkan ada peneroka didenda kerana menceroboh tanah kerajaan.
"Baru-baru ini beberapa pengusaha resort di sepanjang Sungai Semungkis mendapati air sungai keruh serta tercemar dan apabila disiasat, didapati sebuah jengkaut sedang bekerja menarah bukit dan membersihkan sungai di jeram Sungai Semungkis. "Laporan polis dibuat penduduk kampung berkaitan sungai tercemar akibat ekosistem tadahan air bersih dirosakkan," katanya. Masrizi berkata, kesan pembangunan itu merosakkan ekosistem hutan simpan dan air sungai tercemar sedangkan penduduk yang membuka resort di sepanjang Sungai Semungkis amat memerlukan air bersih untuk kegunaan harian. Beliau berkata, penduduk fobia dan terkesan dengan pengambilan balak di hutan simpan itu suatu ketika dahulu yang menyebabkan berlakunya banjir kilat sehingga merosakkan penempatan serta mendatangkan kerugian kepada penduduk. Sementara itu, pengusaha resort di situ yang enggan dikenali berkata, dia menyedari kejadian itu minggu lalu apabila melihat air sungai di kawasan resort bertukar keruh. "Jika dibiarkan, ia bukan sahaja mencemarkan sungai, malah menyebabkan pendapatan kami selepas ini turut terjejas, tambahan sekarang ini pengunjung berkurangan kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). "Saya harap isu ini akan segera diselesaikan demi menjaga sungai ini daripada tercemar," katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, sebaik menerima aduan pihaknya menjalankan siasatan dan pemeriksaan mendapati kawasan diadukan berada di luar kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan dipercayai berada di dalam tanah bermilik. "Jarak HSK terdekat lebih kurang 500 meter iaitu kompartmen 75 HS Hulu Langat. "Kerja-kerja pengorekan sungai itu dijalankan oleh pengusaha resort yang tidak dapat dikenal pasti pemiliknya," katanya. Beliau berkata, lawatan dan siasatan dijalankan Pejabat Wilayah Langat/Sepang dan Unit Penguatkuasaan Lembaga Urus Air Selangor (Luas). Menurutnya, pasukan Luas berjumpa dengan pemilik tanah di tapak dan pemilik mendakwa tanah itu milik persendirian dan akan menjalankan aktiviti pertanian iaitu penanaman pokok durian. Katanya, pemilik tanah memberitahu dia menjalankan pembaikan tebing Sungai Semungkis akibat tanah runtuh di kawasan itu. "Semasa pemeriksaan dijalankan, terdapat sebuah jengkaut di tapak yang dipercayai digunakan bagi aktiviti 'site clearing' di situ. "Keadaan air Sungai Semungkis dalam keadaan baik dan mungkin akan berlakunya kekeruhan tinggi jika hujan lebat akibat 'site clearing' dijalankan itu. "Sehubungan itu, Luas akan mengeluarkan Surat Arahan mengikut Seksyen 121(1) Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 kepada pemilik tanah," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT