Bukan pencinta haiwan saja, sesiapa melihat kucing ini dianiaya dengan kejam pasti akan berasa sedih dan marah. Lebih menyedihkan apabila kucing bunting ini dipotong keempat-empat kakinya.
Sebaik mendapat panggilan memaklumkan kucingnya mati dalam keadaan memilukan, pemiliknya, Mur Salina Junaidi, 20, bergegas pulang dari tempat kerja di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur. Terkejut dan menggigil apabila melihat sendiri bangkai haiwan itu yang ditinggalkan dalam sebuah kotak berhampiran kediamannya di Gombak, Selangor. "Saya ada di pejabat. Kemudian keluarga maklumkan nampak kucing kami mati, ditinggalkan dalam kotak di belakang kereta. "Kakinya seperti dipotong. Apabila diteliti dekat, seolah-olah keempat-empat kaki tu direntap sehingga tercabut. "Macam tulang ayam yang ditarik dagingnya. Kucing saya yang mati tu namanya Cantik, tengan sarat mengandung," ujar Salina kepada mStar.
Berikutan kejadian, dia membuat laporan di Balai Polis Gombak pada hari sama kerana risau dengan apa yang berlaku. "Kami semua ketar tangan, sebab tak pernah kena pengalaman macam ni. Satu famili sedih. "Rasa terancam, sebab kucing saya seperti dibunuh ditempat lain sebelum ditinggalkan di dalam kotak. Kalau tak ada motif, kenapa tak buang terus je? "Di kawasan rumah saya juga tiada sebarang kesan darah. Tak ada nak syak sesiapa, jiran-jiran saya pun mereka bela kucing. "Di rumah saya ada enam ekor kucing semuanya," jelasnya lagi. Masih bersedih dengan apa yang berlaku, Salina yang berkongsi mengenai kejadian berharap pelaku menerima hukuman setimpal dengan kekejaman dilakukannya. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT