Bagi sesetengah individu, nilai sebuah persahabatan terlalu mahal dan tidak dapat ditukar ganti. Justeru, ada yang tidak kisah untuk membelanjakan wang yang banyak demi sahabat sejati bagi menghargai kehadiran mereka di kala susah mahupun senang.
Begitu jugalah dengan wanita ini yang menghadiahkan sahabat baiknya seutas rantai tangan emas sempena hari bahagia insan tersebut. Bukan calang-calang harganya, rantai emas tersebut benilai kira-kira RM11,000! Menerusi video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, Attyra Saari membuat kejutan dengan menyembunyikan rantai tangan yang sudah dibungkus kemas dalam plastik itu di bawah timbunan hidangan 'shell out' (timbunan makanan laut).
Sebaik sahaja membuka bungkusan kecil yang ditemuinya di celah-celah makanan laut tersebut, jelas kelihatan reaksi teruja dan gembira sahabat baik kepada Attyra itu.
Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Attyra yang juga seorang usahawan minuman kesihatan berkata, rantai tangan emas tersebut adalah hadiah perkahwinan buat sahabat baiknya, Natrah Ramle yang baru mendirikan rumah tangga pada awal bulan lalu. Bercerita mengenai kejutan yang dilakukannya, Attyra berkata rancangan tersebut 'dijayakan' bersama beberapa sahabat lain dengan teliti agar tidak terkantoi. "Ketika itu kami buat makan-makan... bila dah siap masak, seorang lagi sahabat saya bawa Natrah keluar dari dapur sementara saya sorok rantai tangan tu di bawah timbunan 'shell out'. "Dia memang tak syak langsung. Yang jadi masalahnya, hampir sejam juga saya rakam sebab dia masih tak jumpa bungkusan rantai tangan yang saya sorok sebab dia hanya usik seafood dekat tepi-tepi... saya pula sorok dekat bahagian tengah. "Saya tak makan sebab alergi seafood jadi memang banyak merakam. Itu pun dia tak syak sebab saya memang suka ambil gambar dan video. "Sampai saya kena gertak dia suruh makan sampai habis, kalau tidak tak boleh balik. Dia pula balas 'kalau tak habis, boleh tapau'. Masa tu risau dah takut kejutan tak menjadi, hinggalah akhirnya dia terjumpa juga bungkusan tu," kata wanita berusia 29 tahun ini. Cerita Attyra, pada mulanya sahabatnya itu spontan mencampakkan bungkusan tersebut yang disangka benda asing 'tersesat' dalam makanan laut yang lain. "Bila buka, dia terjerit dan terperanjat sebab tengok ada rantai tangan emas... terus dia cakap dah kenyang," ceritanya mengimbas detik lucu ketika itu. Bercerita lebih lanjut Attyra berkata dia dan Natrah sudah bersahabat sejak 18 tahun yang lalu iaitu ketika sama-sama menuntut di sekolah menengah. Katanya, sepanjang persahabatan mereka, Natrah yang sudah dianggap seperti kakak sendiri setia berada di sisinya ketika senang mahupun susah. "Saya ingat lagi masa saya susah sewaktu mula berniaga dulu, dia beri gelang emas miliknya untuk digadai. Dia kata 'aku nak tolong tak ada duit, gelang je ada'. "Dalam pada dia pun susah, tapi dia sanggup berkorban untuk saya. Hampir setahun kemudian baru dapat tebus semula gelang tu. Itu yang saya ingat sampai sekarang. "Sebab itu bagi saya, hadiah itu tak seberapa jika nak dibandingkan dengan pengorbanan dan kesetiaannya. Dia sentiasa ada... kalau ada masalah, memang saya cari dia dulu," ceritanya mengenai keakraban hubungan mereka berdua. "Saya memang sangat menghargai persahabatan. Kalau nak menghargai sahabat tak perlu dengan kemewahan pun tapi kalau mampu, apa salahnya," tambahnya lagi. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|