Jangan pandang sebelah mata! Bermula dengan pekerjaan sebagai juruwang atau cashier di pusat beli-belah, seorang pemuda kini bergelar usahawan. Transformasi anak muda itu dikongsi menerusi sebuah video di laman TikTok. Pemuda berkenaan, Aidil Idzham Riza berkata, dia bekerja sebagai juruwang selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selama setahun sebelum menyambung pengajian dalam jurusan Diploma Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM), Kuala Lumpur pada 2016. Anak muda berusia 24 tahun itu memberitahu, dia turut berpengalaman berkhidmat dalam khidmat pelanggan di pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur secara sambilan.
"Sebagai pelajar, saya menumpukan pengajian di kelas sebelah pagi dan bekerja sambilan sebagai tukang isi minyak di sebuah stesen minyak di sebelah petang. "Malam pula saya ajar kelas tuisyen bagi subjek Bahasa Inggeris dan Sejarah untuk murid sekolah rendah, pelajar Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima," katanya kepada mStar. Lebih mesra disapa Aidil, katanya, ramai mempersoalkan bagaimana dia membahagikan masa sedangkan melakukan tiga ‘kerja’ dalam sehari. "Cara saya adalah memberi tumpuan sepenuhnya dalam kelas. Bila saya fokus di kelas, jadi tak perlu menghabiskan banyak masa dengan mengulangkaji pelajaran. "Saya tetap study, tapi paling lama pun kira-kira 45 minit selepas saya pulang mengajar pada waktu malam sebab penat bekerja. Sebab itulah saya lebih pentingkan fokus di kelas," ujarnya yang berasal dari Balakong, Selangor. Menamatkan pengajian dalam TESL pada 2018, anak kedua daripada lima beradik itu bagaimanapun tidak menghadiri majlis konvokesyen gara-gara kecewa apabila tidak memperoleh keputusan dengan pencapaian anugerah dekan untuk keseluruhan enam semester. "Saya hanya memperoleh pencapaian dekan iaitu dengan pointer 3.6 ke atas untuk lima semester, manakala satu semester lagi hampir cukup pointer untuk dapat anugerah dekan tu. "Itu yang membuatkan saya frust sangat sehingga ambil keputusan untuk tak datang ke majlis konvo. Walaupun kecewa, itu tidak bermakna saya sudah berputus asa," katanya sambil menambah turut berpengalaman menjadi guru Bahasa Inggeris di sekolah rendah. Buktinya, Aidil yang juga berpengalaman menjadi jurujual di sebuah butik pakaian kemudian menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, Selangor pada 2019. Walaupun berpengalaman melakukan pelbagai kerja sepenuh masa dan sambilan sebelum ini, namun pandemik Covid-19 ternyata memberi impak yang cukup besar dalam dirinya. "Saya cari macam-macam kerja walaupun part time untuk cari duit poket, tapi susah nak dapat sebab pandemik selain PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada tahun lepas. "Jadi, saya mulakan bisnes kecil-kecilan dengan menjual air minuman berkarbonat sepanjang bulan puasa sebelum menjual cookies (biskut) bersalut coklat selepas Hari Raya. "Alhamdulillah, bermula dengan hanya pendapatan RM1,500 sebulan, saya kini boleh meraih jualan bulanan mencecah RM40,000," katanya sambil menambah dia turut membuka peluang perniagaan kepada 96 ejen di bawahnya. Sehubungan itu, Aidil berkata, tiada masalah sekiranya anak muda mahu bekerja sambil belajar sepertinya tetapi perlu mengutamakan pendidikan. "Apa pun yang kita buat, pendidikan tetap penting. Kita mungkin pernah frust dalam kehidupan, tapi jangan sesekali berputus asa.
|
"Alhamdulillah, bermula dengan hanya pendapatan RM1,500 sebulan, saya kini boleh meraih jualan bulanan mencecah RM40,000," katanya sambil menambah dia turut membuka peluang perniagaan kepada 96 ejen di bawahnya.
ADVERTISEMENT