Sejak kebelakangan ini, banyak berlaku kes cabul, gangguan seksual, rogol dan sebagainya melibatkan golongan remaja dan kanak-kanak. Individu yang tidak bertanggungjawab ini tergamak melakukan perbuatan tidak senonoh itu semata-mata mahu memuaskan nafsu.
Terbaru, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun didakwa menjadi mangsa cabul bapa tirinya. Memetik laporan Tribun News, kejadian tidak bermoral itu hanya disedari ketika ibu mangsa terjaga dari tidur untuk mendirikan solat subuh. Wanita itu melihat anak perempuannya sedang tidur dalam keadaan tidak memakai seluar di ruang tamu di rumah mereka di Lampung, Indonesia. Lebih mengejutkan apabila dia melihat suaminya juga berada di sebelah gadis itu membuatkan dia berasa curiga dengan situasi berkenaan. Difahamkan, beberapa jam selepas anak perempuannya bangun dari tidur, dia bertanya kepada mangsa mengapa tidak memakai seluar dan siapa yang telah menanggalkannya.
Meskipun berkali-kali ditanya, mangsa hanya mendiamkan diri. Namun, pada sebelah petang pula, ibu dan ibu saudara mangsa sekali lagi mengajukan soalan sama sebelum mangsa menangis dan memaklumkan dia takut untuk menceritakan perkara sebenar. Tidak lama selepas itu, akhirnya mangsa membuka mulut memberitahu bahawa bapa tirinya telah mencabulnya. Difahamkan, dia terpaksa merahsiakan perkara itu kerana diugut suspek. Susulan itu, ibu mangsa segera ke balai polis untuk membuat laporan dan suspek berusia 42 tahun ditahan. Menurut sumber, sekiranya didapati bersalah, suspek bakal dijatuhi hukuman penjara maksimum 15 tahun. Sumber: OhBulan
|
ADVERTISEMENT