Seorang peniaga di Atambua, Nusa Tenggara Timur menggunakan periuk nasi elektrik untuk ‘menyahkuman’ pada duit kertas sebagai langkah pencegahan Covid-19. Lapor Tribunnews, anak peniaga tersebut, Aldi Natanael Tandjung berkata, kaedah itu sering digunakan ibu dan bapanya yang mengusahakan penjualan alat ganti motosikal setiap kali menerima duit daripada pelanggan.
“Awalnya saya berasa pelik mengapa ibu dan bapa membawa periuk nasi itu ke kedai dan rupanya mereka menggunakan alat memasak tersebut bagi menyahkuman pada duit kertas. “Mereka percaya dengan cara itu, virus Covid-19 yang mungkin terdapat pada permukaan duit kertas akan mati akibat haba panas,” katanya. Aldi kemudiannya memuat naik gambar periuk nasi tersebut dalam media sosial dan mendapat pelbagai reaksi pengguna. Antaranya mencadangkan supaya Aldi membelikan alat sinar ultra ungu yang kini mudah di dapati dalam pasaran untuk mematikan kuman pada permukaan objek termasuk duit kertas.
Mereka berpendapat penggunaan alat sinar ultra ungu adalah lebih selamat berbanding periuk nasi. Kebanyakannya melahirkan kebimbangan jika duit itu terbakar dan keluarga tersebut akan mengalami kerugian. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT