Seorang bekas jurulatih gimnastik Olimpik Amerika Syarikat (AS) bertindak bunuh diri beberapa jam selepas dia didakwa melakukan serangan seksual dan pemerdagangan manusia. Pejabat Peguam Negara Michigan, Dana Nessel mengesahkan kematian John Geddert pada petang Khamis.
Nessel telah mengemukakan 24 tuduhan terhadap Geddert. Geddert adalah ketua pasukan gimnastik wanita pada tahun 2012 dan bekerja rapat dengan doktor pasukan tersebut, Larry Nassar yang menghadapi tuduhan melakukan penganiayaan ke atas ratusan atlet. Nassar dijatuhi hukuman penjara hingga 300 tahun pada tahun 2018 kerana mendera lebih daripada 250 orang gadis. Geddert, 63, memiliki kemudahan latihan di Michigan, yang mana Nassar pernah bertugas sebagai doktor.
Sebilangan ahli-ahli gimnas menuduh Geddert melakukan tingkah laku ganas semasa mereka memberi keterangan semasa perbicaraan Nassar. Dia dijangka menyerahkan diri pada hari Khamis petang tetapi tidak muncul, kata pejabat peguam negara. “Pejabat saya telah diberitahu mayat John Geddert ditemui lewat petang ini setelah dia meragut nyawanya sendiri,” kata Nessel kemudian dalam satu kenyataan. “Ini adalah pengakhiran yang tragis bagi semua orang yang terlibat,” katanya. Sebelum ini, Nessel telah mengumumkan 24 tuduhan berasingan terhadap Geddert yang “memusatkan perhatian kepada beberapa tindakan penganiayaan secara lisan, fizikal dan seksual yang dilakukan oleh defendan terhadap beberapa wanita muda”. Dua daripada tuduhan itu melibatkan dakwaan serangan seksual terhadap seorang gadis berusia antara 13 dan 16 tahun. Dia menghadapi 14 tuduhan pemerdagangan manusia kerana didakwa memaksa “atletnya melakukan kerja paksa atau perkhidmatan dalam keadaan ekstrem yang menyebabkan mereka mengalami kecederaan”. Geddert “mengabaikan kecederaan yang dilaporkan kepada beliau, sebaliknya menggunakan paksaan, intimidasi, ancaman dan kekuatan fizikal untuk mendapatkan prestasi seperti yang diharapkan,” kata kenyataan Peguam Negara. Dia juga dituduh berbohong kepada penyiasat pada tahun 2016 semasa siasatan tuduhan terhadap Nassar dibuat. Sumber: MalaysiaGazette |
ADVERTISEMENT