Beijing: Mahkamah di Beijing memerintahkan seorang lelaki membayar ganti rugi kepada bekas isterinya untuk kerja rumah yang dilakukan sepanjang perkahwinan mereka.
Wanita itu akan menerima 50,000 Yuan (kira-kira RM30,300) sebagai bayaran kerja tanpa gaji selama lima tahun. BBC News melaporkan kes itu menjadi perdebatan hangat di media sosial mengenai nilai rumah tangga dengan ada yang berpendapat jumlah itu terlalu sedikit. Keputusan itu dibuat selepas China memperkenalkan undang-undang baharu. Mengikut rekod mahkamah, lelaki yang dikenali dengan nama Chen memfailkan kes perceraian terhadap isterinya, Wang.
Mereka berkahwin pada 2015. Pada awalnya, isterinya tidak bersetuju, tetapi dia kemudian mengemukakan tuntutan pampasan atas alasan Chen tidak pernah melakukan kerja rumah dan mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak. Mahkamah Daerah Fangshan memerintahkan lelaki itu membayar ansuran bulanan sebanyak 2,000 Yuan (kira-kira RM1,521) sebulan. Selain itu, dia juga diarahkan membayar RM30,300 untuk kerja-kerja rumah yang dilakukan oleh bekas isterinya. Hakim memberitahu media pada Isnin bahawa pembahagian harta biasanya membabitkan hartanah. "Tetapi kerja rumah adalah nilai harta yang tidak ketara," katanya. Keputusan itu dibuat dengan kod sivil baru yang mula berkuat kuasa tahun lalu. Di bawah undang-undang itu, seseorang berhak mendapat pampasan dalam perceraian. Ia sekiranya satu pihak merasakan lebih bertanggungjawab untuk membesarkan anak-anak, menjaga saudara-mara yang sudah tua dan membantu pasangan dalam pekerjaan mereka. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT