Pelakon Zed Zaidi yang juga merupakan Presiden Persatuan Seniman Malaysia meluahkan rasa bengang dengan tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menyiarkan berita palsu mengenai dirinya.
Menerusi entri di laman Instagramnya, Zed atau nama sebenarnya, Rozaidi Jamil, 41, memuat naik satu gambar dengan tajuk 'Zed Zaidi mahu Liga Bola Sepak Malaysia ditunda bagi memberi laluan untuk Karnival Jom Heboh'. Pihak terbabit turut menyalahgunakan logo sebuah syarikat media pada artikel palsu berkenaan seolah-olah Zed tidak sensitif dengan keadaan isu semasa apabila menyarankan penganjuran sebuah karnival hiburan di kala negara masih berdepan dengan masalah pandemik Covid-19.
"Pandai orang buat fake news ni. Ni bukan aku buat tau, interview dengan Metro pasal benda ini pun tiada. "Ni saja orang nak troll aku takpe aku adjust sikit, TV3 tak pakai nama Jom Heboh lagi, dia pakai Sure Heboh," katanya. Susulan penyebaran berita palsu itu, Zed menjelaskan dia telah menerima pelbagai kecaman daripada netizen yang percaya itu adalah kata-kata yang keluar daripada mulutnya. Namun, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak yang memberikan komen tersebut kerana mereka turut menjadi 'mangsa' apabila termakan fitnah pihak berkenaan.
|
ADVERTISEMENT