Berang permintaan cerai ditolak suami, wanita di Indonesia nekad membakar rumahnya. Lebih malang apabila insiden itu mengakibatkan beberapa kediaman lain turut terbakar, lapor portal berita Suara.com semalam.
Suspek, Firtiani, 34, dari Kecamatan Tanjung Biram, wilayah Sumatera Utara dikatakan meminta cerai dengan suaminya, M. Rustam Ritonga kerana tidak tahan lagi hidup bersama lelaki itu. Selain menuntut cerai, dia juga meminta suaminya agar menjual rumah mereka, namun permintaannya ditolak. Gagal mengawal emosi, Firtiani membakar langsir dapur rumahnya, namun sempat dipadam suaminya. Tidak mengalah setakat itu, wanita terbabit kemudian membakar permaidani di bilik tidur mereka. “Dia kemudian meninggalkan rumah tersebut yang sedang terbakar,” kata ketua polis tempatan, Asisten Komisioner Besar Polis, Ikhwan Lubis semalam.
Menurutnya, api marak dengan pantas dan menyambar dua lagi rumah jirannya. “Suspek mengaku dia menjadi emosi dan membakar rumahnya,” kata Ikhwan. Kes disiasat di bawah Seksyen 187 (1) dan (2) Subs Seksyen 188 Undang--Undang Hukum Jenayah Indonesia. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT